“Tolong Jangan Bunuh Diri” – Dr Zul Azlin Razali

Kata pengarang itu, “Kota kami sudah lama menciptakan mitos ini: bahawa, orang yang mahu bunuh diri – adalah manusia lemah dan tidak punya kualiti”. Ya. Ianya satu mitos. Bunuh diri tidak semestinya lambang kelemahan tetapi ia adalah manifestasi penyakit.

Cerpen Zainal Rashid Ahmad ini tersiar di Berita Minggu, 9 September 2018. Ia tidak menggarap tuntas isu kesihatan mental tetapi mengangkat naik keadaan sosio-ekonomi-politik yang menekan sehingga ramai manusia mati ‘membunuh diri’. Bukan niat saya untuk mengupas dan mengkritik karya pengarang prolifik tersebut. Sekadar meminjam tajuknya untuk menarik perhatian pembaca tentang Bulan Kesedaran Cegah Bunuh Diri (barangkali Zainal Rashid sendiri sengaja membikin tajuk begini dalam bulan ini?).

 

Bunuh diri boleh dicegah. Tetapi dengan apa?

 

Bunuh diri boleh dan mesti dicegah. Persoalannya apakah cara-cara yang terbukti ampuh?

Adakah dengan melambakkan lagi akta dan undang-undang menghukum cubaan bunuh diri?

Adakah dengan memperbanyakkan imej media yang menunjukkan individu menggantung diri, mengelar tangan atau mahu terjun bangunan?

Atau menggalakkan pendakwah, baik yang selebriti atau tokoh agamawan mapan, untuk meneruskan agenda tausiyah dengan menggunakan dalil-dalil tercelanya perlakuan bunuh diri ini?

Kajian menunjukkan taktik takut-menakutkan (scare tactics) seperti ini hanya memudaratkan lagi. Bukannya individu tersebut akan keluar dari lohong hitam sakit mentalnya tetapi lebih malang dia lebih jauh terperosok. Media kewartawanan atau kreatif (filem, dramatis, novelis dan sebagainya) yang mensensasikan bunuh diri pula sudah terbukti meningkatkan lagi statistik perlakuan ini di kalangan marhaen. Undang-undang yang menjenayahkan perlakuan bunuh diri yang ada sekarang ini juga disifatkan sebagai kuno dan primitif.

 

Peranan ahli masyarakat

 

Sumber gambar: csindy.com

Pemimpin politik, pembuat dasar, pengamal dan penggubal undang-undang, pemimpin agama dan pengamal profesional media adalah figura-figura penting dalam usaha memecahkan tembok halangan pencegahan bunuh diri ini.

Ahli politik dan pekerja sektor kesihatan bergandingan melaungkan kempen dan memberi kesedaran tentang stigma sakit mental. Maklumat dan kajian terkini tentang penyakit mental wajib dirakyatkan. Ahli akademik tidak sepatutnya syok sendiri di puncak menara gading dengan makalah jurnal akademik impak maksimanya. Sebaliknya ilmu itu diperturunkan dan difahamkan ke bawah. Doktor-doktor perubatan pula harus sedar bahawa kerja mereka bukan di dalam dinding empat segi bernama klinik itu sahaja tetapi mereka harus turun ke lapangan dan melihat bagaimana rakyat memahami penyakit mental.

Pembuat dasar dan pengamal undang-undang kena memikirkan semula undang-undang yang menyabitkan kesalahan jenayah kepada individu membunuh diri. Barangkali mereka juga patut mempertimbangkan supaya kompeni-kompeni insurans memasukkan penyakit mental di dalam pakej perlindungan kesihatan.

Ahli media yang terhormat sedar tentang pengaruh mereka dalam masyarakat. Dalam kebebasan berkarya, mereka tidak lupa tanggungjawab mendidik. Mereka, baik wartawan atau media kreatif, boleh merujuk garis panduan dalam melaporkan kes bunuh diri atau ketika memaparkan isu kesihatan mental dalam karya-karya kreatif mereka supaya jelata yang sukakan hiburan ini tidaklah terpesong kefahaman mereka (Rujukan seperti di bawah).

Kita-kita yang berehat di rumah ini, yang bersantai di kopitiam, yang di dalam tren MRT/LRT bekerja 8am-5pm dan yang merupakan warga biasa cintakan negara ini juga berperanan besar. Kita harus lebih cakna dengan persekitaran. Peka dengan sahabat atau ahli keluarga yang murung atau yang berubah merudum. Jauhkan diri dari berkata dengan kata-kata yang meranapkan. Sebaliknya beri sokongan moral, kata-kata cinta dan rujuk mereka pada unit psikiatri.

 

Peranan agamawan

 

Peranan ustaz dan agamawan kurang diperkatakan sedangkan suara mereka penting di dalam masyarakat. Apabila agamawan disoal tentang bunuh diri, selalunya bicara hukum dibentangkan dahulu (https://islamqa.info/en/111938; https://islamqa.info/en/70363).

Tanpa menafikan sama-sekali hukum fikah tentang bunuh diri ini, wajar untuk agamawan membawa naik dalil lain seperti hadis “Pena diangkat (tidak dipertanggungjawabkan) dalam tiga keadaan: orang yang tidur sehingga dia terjaga, anak-anak kecil sehingga akil-baligh dan orang yang hilang kewarasan sehingga dia kembali” (https://sunnah.com/nasai/27/44; https://sunnah.com/tirmidhi/17/1).

Perbincangan tentang bunuh diri harus lebih sofistikated. Kenyataan berwibawa daripada sarjana Islam yang dihormati dan berkedudukan tinggi pasti menjadi rujukan awam. Kenyataan dan penerangan yang syumul, walaupun sarat dengan dalil-dalil wahyu, akan mengambil kira pelbagai faktor rencam dalam membahas perkara serumit bunuh diri ini.

(http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya).

 

Majoriti kes bunuh diri berlaku dalam kerangka sakit mental. Sebahagian kecil pula (sangat-sangat kecil), bunuh diri ini dibincangkan dalam kerangka falsafah. Ini boleh merujuk polemik eksistensialisme dan tidak ada kena mengena dengan sakit mental (i.e Albert Camus, Soren Kierkegaard dan lain-lain). Berbalik pada kesihatan mental, isu sakit mental ini wajib diperhalusi supaya hukum fikah tidak semberono dijatuhkan pada pelaku bunuh diri. Adakah sakitnya mental seseorang itu boleh dianggap hilang kewarasan sehingga memacunya untuk membunuh diri? Tidakkah hilang kewarasan itu tergolong dalam golongan yang ‘penanya diangkat’? Barangkali usaha dan perbincangan intensif harus berlaku di antara sarjana agama dan doktor kesihatan mental.

Bunuh diri tidak semudah naratif, ‘dia menafikan tuhan memiliki jasad dan nyawa lantas dia berwewenang mencabut nyawa sendiri’. Bunuh diri bukan semudah naratif, ‘dia memilih untuk membunuh diri maka dia akan dapat balasannya.’ Malu dan takut dituduh ahli neraka adalah punca utama pesakit muslim tidak mahu bercerita tentang dan mendapatkan rawatan untuk sakit mental dan keinginan bunuh diri mereka.

 

Momokan kelemahan iman oleh si moralistik-punitif

 

Menggunakan kad agama dan moral setiap kali mendekati pesakit atau individu yang berkeinginan membunuh diri bukan jalan terbaik setiap masa. Memomok-momok kemurungan dan keinginan bunuh diri itu sebagai indikasi kelemahan iman adalah naratif seorang moralistik-punitif. Tiada empati.

Unsur agama dan spiritual tetap mustahak dalam menangani apa jua isu kesihatan mental termasuklah keinginan bunuh diri. Elemen agama dan spiritual yang dimaksudkan adalah yang penuh rahmat dan empati, menggunakan akal dengan objektif utama untuk memahami dan tidak memukul rata bahawa semua keinginan bunuh diri itu lahir dari kebencian pada Tuhan. Jika adapun kebencian begitu selalunya ia berlaku kerana kerancuan kesihatan mental itu sendiri.

Sering moralistik-punitif ini beranggapan, lemah iman menjurus kepada sakit mental. Tetapi tidak pernah mereka memikirkan sakit mental itu sendiri berupaya meruntuhkan benteng kepercayaan. Sakit mental itu sendiri menjauhkan insan dari Tuhan. Sakit mental dan keutuhan iman ini bersifat dua hala dan tiada siapa di kalangan mortal ini boleh menafsir arah mana yang terhala dalam diri seseorang yang sakit itu.

Sering moralistik-punitif itu akan berkhutbah soal moral dan soal hukum-hakam yang akhirnya menarik individu sakit itu lebih jauh ke dalam jerat jiwa yang menjerankan. Nasihat-nasihat, walaupun berasal dari niat yang baik, tetapi boleh bersifat menjatuhkan jika banyak dilumurkan dengan elemen takut hukum tuhan dan mengungkit-ngungkit dosa silam yang konon menjadi punca kemurungan dan sakit mental ini.

 

Akhirnya

 

Kerja manusia mortal adalah memahami kompleksiti jiwa, merangkul bersama kepedihan itu supaya tidak terlalu terbeban dia seorang dan akhirnya yang paling mustahak mendorongnya mendapatkan khidmat kepakaran perubatan psikiatri (doktor psikiatri, ahli psikologi klinikal dan pekerja unit kesihatan mental).

Dan dalam perenggan akhir ini juga, ingin sekali saya menggemakan semula wacana yang dibawa oleh cerpen tadi dengan menyeru pemimpin-pemimpin kita bahawa isu korupsi, ketidakadilan dan ketidaksamarataan ekonomi itu adalah raksasa kejam yang harus dibunuh cepat. Racun yang dibawa oleh taring-taring raksasa inilah yang membarah dan menimbulkan penyakit mental sehingga membawa ke bunuh diri.

….

….

Tolong jangan bunuh diri. Kita bincang dahulu.

 

Rujukan

  1. WHO & IASP (2008). Preventing Suicide: A Resource for Media Professionals. WHO.

http://www.who.int/mental_health/prevention/suicide/resource_media.pdf

  1. Behere, P. B., Rao, T. S., & Mulmule, A. N. (2015). Decriminalization of attempted suicide law: Journey of Fifteen Decades. Indian journal of psychiatry57(2), 122.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4462779/

Dr Zul Azlin Razali adalah seorang doktor psikiatri dan juga pensyarah perubatan.

zulazlin@usim.edu.my

 

Artikel ini ditulis sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 10 September 2018.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box