Sensasi dan tragedi
Mari kita hentikan sikap menjadi polis moral yang terus melakukan pembantaian terhadap suspek-suspek si pembakar. Pembantaian dan penghinaan secukup-cukupnya di dada akhbar mahupun di paparan skrin netizen tanpa ada buah fikir rasional berjangka panjang.
Cukuplah dengan pertanyaan-pertanyaan sensasi, adakah si ibu masih bermimpi anak yang telah diragut nyawa? Shahidkah mereka? Ke syurga kah mereka? Berpijaklah di bumi nyata bahawa berita-berita ghaib itu milik Sang Pencipta.
Sudah menjadi tabiat orang kita tatkala berlaku kematian tragis, bila sudah penat kita mencari-cari dahi siapa harus ditunjal sebagai kambing hitam, perkara seterusnya yang dipertanyakan, apakah tanda-tanda pelik yang dilakukan oleh si mati di hari-hari sebelum kematiannya?
Masyarakat peka adalah masyarakat yang berfikir panjang
Masyarakat kita yang bijak pandai seharusnya membangunkan perbincangan ilmiah. Ada aspek tertentu pada mangsa dan pesalah yang kurang diberi perhatian. Atau mungkin diberi perhatian sekarang tetapi bakal dilupakan tenggelam dalam isu-isu viral yang mendatang.
Ketika kita menangisi yang telah pergi, wacana marhaen perlu menaikkan masalah psikiatri berat yang mungkin berlaku bila-bila di kalangan ahli keluarga dan sahabat-sahabat mangsa tragedi. Isu psikiatri yang boleh sahaja melanda sesiapa yang berkaitan dengan situasi-situasi tragik. Isu Gangguan Stress Pasca Trauma (Post-Traumatic Stress Disorder-PTSD).
Tatkala suspek-suspek kecil itu terhumban di lokap menunggu saat ke kandang pesalah, masyarakat mulia rakyat Malaysia seharusnya peka dengan persoalan maha besar lagi. Adakah ini kes terpencil? Adakah kes-kes juvana begini satu fenomena langka? Mungkinkah perkara ini didorong oleh faktor-faktor tertentu? Jika benar, boleh jadi perkara ini boleh berlaku lagi kalau faktor-faktor tersebut dipandang enteng. Atau, adakah kita hanya scroll up isu ini dan move on pada isu tular yang lain, kerana kesalahan-kesalahan juvana ini tidak berlaku di belakang rumah kita?
Gangguan Stress Pasca Trauma dan lain-lain
Di samping wang dan bantuan yang terus dihulurkan kepada keluarga mangsa dan sekolah tersebut, kita tidak sepatutnya lalai dengan status mental insan-insan yang terpaksa meneruskan hidup dengan luka-luka tidak berdarah dalam jiwa yang kehilangan. Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) tidak semestinya datang serta merta. PTSD adalah realiti, bukan mainan perasaan, bukan masalah lemah semangat. Timbulnya masalah tidak boleh tidur, simtom flashback dan mimpi ngeri, fobia pada apa jua keadaan dan perkara yang berkaitan dengan situasi tragik dan keruduman kefungsian harian adalah antara gejala penyakit PTSD.
Kemurungan dan kehibaan kerana kehilangan (Grief) adalah fenomena normal untuk sekalian manusia. Namun, dengan simtom-simtom yang tidak kunjung surut setelah berbulan-bulan bisa membawa kepada masalah jiwa yang rumit. Grief dan PTSD yang tak terkawalkan menjurus penghidap ke lembah kemurungan yang pengakhirannya melepaskan nyawa di tangan sendiri.
Pesalah kanak-kanak
David P. Farrington menukilkan beberapa faktor risiko yang terbukti mempengaruhi anak-anak melakukan kesalahan jenayah (Farrington dalam New Oxford Textbook of Psychiatry Edisi 2, Volume 2, 2009). Faktor-faktor psiko-sosial ini terbahagi kepada faktor individu, faktor keluarga dan faktor sosial.
*Dalam tradisi pengkajian sains sosial dan perubatan, faktor risiko tidak boleh dikatakan sama dengan faktor penyebab. Faktor risiko adalah berdasarkan statitistik tanpa mengetahui dengan jelas hubungan faktor tersebut dengan masalah yang dikaji. Faktor penyebab lebih bersifat qat’ie. Zahir hubungan dan prosesnya.
Keterpinggiran kanak-kanak impulsif dan bermasalah pembelajaran- Faktor Risiko Individu
Kanak-kanak hiperaktif dan impulsif mudah sahaja digolongkan dalam kategori ‘kanak-kanak nakal’. Dalam konteks sekolah, situasi ini diterjemah kepada kategori ‘kelas corot’. Dalam pada itu, seringkali anak-anak begini juga menghadapi masalah tumpuan dan fokus. Maka tidak mengejutkanlah jika mereka terlonggok di kelas belakang-belakang. Selain daripada itu, Farrington menggemakan dapatan-dapatan lalu bahawa masalah pembelajaran dan IQ lemah (tanpa ada isu hiperaktif dan impulsif) juga berpotensi untuk meramal perilaku jenayah pada masa depan.
Hal keciciran budak di zaman persekolahan harus ditangani segera. Sekolah harus dibantu untuk menangani isu lembam dan lambat pembelajaran. Kekurangan fasiliti dan tenaga pengajar berkebolehan, menyebabkan masalah pembelajaran dan ADHD (attention deficit hyperactive disorder) tidak terdiagnos lantas tercampaklah si kecil itu di kelas corot bersama kehormatan diri yang diinjak-injakkan.
Hancur self-esteem. Semangat ingin tahu sang pemimpi kecil yang berputik dari hati mulus bertukar menjadi semangat untuk menarik perhatian sekeliling yang terjana dari hati yang kelam dan suram. Kehormatan diri dan harga diri diraih dengan aksi-aksi durjana dan kerja-kerja nakal. Lambat laun kenakalan dinaiktaraf kejahatan mutlak. Wajah yang naif si bocah polos berevolusi kepada riak keras penuh muslihat.
Media arus perdana dan netizen-netizen berpengaruh harus ada tanggungjawab untuk menyebarluaskan isu-isu psikiatri begini. Masalah-masalah seperti Gangguan Kurang Tumpuan Dan Hiperaktif (Attention Deficit Hyperactive Disorder- ADHD) dan Masalah Pembelajaran (Learning Disorder) boleh dibantu. Mereka tidak semestinya langsung terpuruk di kelas hujung tanpa ketahuan jelas masa depannya. Dengan rawatan dan intervensi awal, manusia-manusia kecil ini tidak akan hilang kehormatan dan keyakinan diri.
Faktor risiko kekeluargaan
Fitrah manusia bukan lahirnya jahat. Sekurang-kurangnya itulah manhaj fikir orang Islam. Ibu-bapa adalah artis yang melakarkan kanvas kecil putih ini; mencorakkan pengalaman dan teladan buat anak-anak. Namun jika ibu-bapanya sudah tiada, penjaganya pun entah siapa, kejap ada kejap tiada, bagaimana pula? Jika penjaganya ibu tunggal yang hidup dalam taraf ekonomi lebih teruk dari pendatang asing tanpa permit, tergamakkah kita meletakkan 100 peratus kesalahan ke atas pundak si ibu?
Keluarga yang berantakan, keluarga yang tidak jelas peranan masing-masing dan ahli keluarga yang terlibat dalam jenayah adalah faktor-faktor kuat mencorak unsur jenayah dalam diri seorang anak. Ini bukan dapatan yang baru. Isu psiko-sosial sebegini sudah diulang berkali-kali umpama pita lagu yang rosak atau cakera padat yang calar. Namun, keadaan-keadaan ini terus berlaku tidak diambil peduli. Social problems breed further social problems.
Mungkin di sinilah letaknya peranan masyarakat. It takes a village to raise a child. Jiran, cikgu-cikgu, pemimpin masyarakat setempat, siak masjid berdekatan, pak cik warung kopi di hujung jalan, mak cik penjual nasi lemak di selekoh sana dan doktor keluarga di klinik sebelahnya- semua ini dipertanggungjawabkan untuk membentuk insan kecil ini menjadi orang baik-baik.
Faktor risiko sosial
Kemiskinan tidak semestinya mempengaruhi seseorang itu melakukan jenayah ketika kecil.
Akan tetapi, persekitaran, pengaruh rakan sebaya (i.e terdesak untuk diterima dalam kumpulan), suasana persekolahan (i.e tradisi yang mengutamakan hukuman dari interaksi bermakna antara guru dan murid) dan komuniti yang langsung sifar kawalan moral (i.e kepadatan yang teramat sehingga bobrok struktur sosialnya) adalah unsur-unsur sosial penting yang membentuk keperibadian jenayah seorang kanak-kanak.
Penyalahgunaan dadah bukan masalah primer, malah ia isu sekunder tapi memiliki kesan ampuh yang melonjakkan si kecil itu menjadi ‘dewasa’ dan memiliki ‘peranan’ dalam masyarakat. Kedewasaan seolah-olah ditakrifkan dengan ‘kebolehan’ merokok ketika darjah enam atau ‘kemahiran’ membalut ganja seawall usia 14. Penyalahgunaan dadah bukan punca mereka melakukan jenayah. Penyalahgunaan dadah adalah sebahagian daripada manifestasi evolusi mereka mahu ‘diterima’ dan menggapai kembali harga diri yang telah lama hilang.
Melihat ke hadapan
Dapatan kajian sains sosial dan sains perubatan wajib diaplikasikan di mana bersesuaian. Pendeta-pendeta di menara gading harus melontarkan buah fikiran bernas merangka strategi buat pemerintah melaksanakan usaha-usaha mengekang ‘produksi kanak-kanak’ penjenayah ini.
Pemain-pemain utama dalam perawatan psikiatri perlu diperkasa lagi. Kempen-kempen kesedaran harus lebih hebat dari iklan-iklan ubat-ubat supplemen. Kebijaksanaan saintis-saintis sosial jangan dibiar mati terhenti hanya untuk memenuhi KPI-KPI universiti. Orang ramai berhenti berpeluk tubuh atau menaip-naip status peribadi sosial media; ayuh kita bangun dan gerakkan kaki dan tangan untuk melibatkan diri dalam aktiviti sosial menyantuni dan mendekatkan diri anak-anak terpinggir dan terbiar ini kepada pendidikan. Zaman mencabar ini penuh dengan budaya narsisistik yang harus kita lawan dengan menyuburkan empati.
Berapa ramai lagi mangsa bunuh dan pembunuh, mangsa buli dan kaki-kaki buli, mangsa rogol dan pencabul, penghisap gam, pelayar porno, yang mahu kita lihat muncul dalam masyarakat kanak-kanak kita? Ini adalah masa hadapan kita.
Selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober 2017.
Dr. Zul Azlin adalah Pakar Psikiatri.
Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai menawarkan khidmat perubatan dan perawatan dalam pelbagai kepakaran.
Hubungi 06-8504921
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]