Jika saya mengalami tumpah darah selepas bersalin, apakah yang akan saya lalui?
Apabila tumpah darah selepas bersalin berlaku di hospital, jururawat perbidanan yang berada di tempat kejadian akan mengaktifkan ‘red alert’ untuk memanggil kakitangan kesihatan iaitu para doktor untuk datang ke pesakit seterusnya memberikan rawatan dengan segera. Ianya berlaku dengan sangat cepat dan mungkin akan mencemaskan anda dan pasangan anda, lebih-lebih lagi secara tiba-tiba ramai kakitangan kesihatan dengan tidak semena-mena berada bersama anda di dewan bersalin. Doktor dan jururawat perbidanan akan menenangkan anda dan menerangkan keadaan dan situasi ketika itu kepada anda supaya anda berasa tenang.
Dalam kebanyakan kes, pendarahan akan berhenti dengan beberapa langkah mudah :
- Urutan pada rahim melalui bahagian bawah pusat anda untuk merangsang pengecutan rahim
- Ulangan suntikan Syntocinon, sekiranya anda sudah menerima suntikan pada awalnya untuk membantu pengecutan rahim
- Tiub getah kencing akan dimasukkan ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing, sekaligus membantu pengecutan rahim
- Jarum branula akan dimasukkan ke dua-dua belah tangan anda, sampel darah akan diambil sedikit. Drip akan dimulakan.
- Uri yang telah keluar akan diperiksa untuk memastikan bahagiannya lengkap dan tiada cebisan uri tertinggal di dalam rahim. Jika terdapat cebisan uri yang tertinggal, ianya perlulah dikeluarkan dan prosedur ini akan dilakukan di dewan bedah dengan pemberian bius terlebih dahulu.
- Koyakan bersalin pada vagina dan perineum diperiksa, jika terdapat pendarahan, jahitan akan dilakukan untuk memberhentikan pendarahan.
Tekanan darah, suhu, serta nadi akan diperiksa dengan kerap dan anda perlu dipantau di dewan bersalin untuk sementara waktu sehingga keadaan stabil dan tiada lagi pendarahan. Penyusuan susu ibu boleh diteruskan pada ketika ini.
Jika anda mengalami keadaan tumpah darah ini di hospital daerah yang tidak mempunyai doktor perbidanan , anda akan dipindahkan dengan segera ke hospital lain yang mempunyai doktor atau pakar perbidanan.
Walaupun langkah-langkah utama telah dilakukan, bagaimana sekiranya saya masih terus-menerus mengalami tumpah darah?
Jika pendarahan berlaku tanpa henti dan didapati anda sudah kehilangan lebih daripada 1 Liter darah, pakar perunding perbidanan akan dipanggil untuk membantu merawat anda.
Apabila anda sudah kehilangan banyak darah, anda akan mula berasa pening kepala, loya, berdebar-debar dan rasa mahu pitam. Oksigen melalui topeng muka (face mask) akan diberikan dan Drip tambahan akan diberikan sementara menunggu bekalan darah untuk transfusi tiba.
Ubat tambahan akan digunakan untuk membantu menghentikan pendarahan.
Jika pendarahan masih lagi berterusan, anda akan segera dibawa ke dewan bedah supaya doktor perbidanan boleh mengenalpasti punca pendarahan yang banyak ini. Anda akan diberikan bius terlebih dahulu. Walau bagaimanapun suami tidak dibenarkan masuk bersama ke dalam dewan bedah. Suami boleh bersama bayi, atau tunggu di luar dewan bedah supaya doktor dapat memaklumkan keadaan terkini anda kepada suami.
Ada beberapa prosedur penting yang mungkin dilakukan oleh doktor untuk mengawal pendarahan :
- Sejenis ‘belon’ akan dimasukkan ke dalam ruang rahim untuk memberikan tekanan kepada dinding rahim untuk menghentikan pendarahan. Belon ini akan dikeluarkan keesokkan harinya.
- Pembedahan laparotomy dilakukan untuk melihat keadaan rahim secara menyeluruh dan mengenal pasti punca pendarahan
- Pilihan terakhir, kadangkala doktor terpaksa membuang rahim, jika semua langkah-langkah yang telah diambil gagal menghentikan pendarahan
- Ada sesetengah hospital yang mempunyai kemudahan uterine artery embolisation, di mana sejenis bahan kimia disuntikkan ke dalam salur darah rahim seterusnya menyumbat peredaran darah ke rahim, sekaligus mengurangkan pendarahan.
Setelah pendarahan dapat dikawal dan diberhentikan, anda akan dipindahkan ke wad rawatan rapi ibu bersalin, dimana anda akan dipantau dengan teliti sehingga anda benar-benar stabil untuk dipindahkan semula ke wad postnatal biasa.
Saya telah mengalami tumpah darah selepas bersalin pada kehamilan terdahulu, bagaimana dengan kehamilan seterusnya, adakah ianya akan berulang?
Sekiranya anda pernah mengalami masalah tumpah darah pada kehamilan terdahulu, anda mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mengalaminya buat ke sekian kalinya untuk kehamilan yang berikutnya, 1 dalam 10 wanita akan mengalami ulangan masalah ini. Justeru itu, anda dinasihatkan untuk bersalin di hospital yang mempunyai doktor atau pakar perbidanan untuk memastikan langkah-langkah segera dapat dilakukan jika anda mengalami masalah tumpah darah ini sekali lagi.
Ketika hamil juga anda disarankan mengambil zat besi tambahan untuk mengurangkan risiko mengalami masalah kekurangan sel darah merah (anemia).
Memilih untuk bersalin secara pembedahan caeserean tidak akan mengurangkan risiko anda mengalami tumpah darah selepas bersalin.
Artikel ini sambungan kepada https://www.mmgazette.com/tumpah-darah-selepas-bersalin-nyawa-ibu-menjadi-taruhan-dr-muhammad-izzat/ dan ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat bin Abdul Razak, beliau adalah seorang registrar obstetrik & ginekologi (perbidanan & sakit puan) yang sedang berkhidmat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Rujukan :
- Heavy bleeding after birth (postpartum haemorrhage) Information For You, by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists United Kingdom. Published in June 2013 (next review in 2016)
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]