Ubat Anda (Bukan) Hak Anda – Norvena Hisyam

Berbilion ringgit dibelanjakan setiap tahun bagi membeli ubat-ubatan pesakit. Baik di fasiliti kerajaan ataupun swasta, ubat-ubat ini menggunakan peratus peruntukan yang tinggi. Sekiranya anda mendapat ubat-ubatan percuma dari klinik atau hospital kerajaan (atau dibiayai oleh syarikat insurans anda), saya merayu kepada anda untuk menghargai setiap biji ubat yang telah diberikan. Tanamkan sikap sayangi ubat anda seperti anda membelinya dengan wang ringgit sendiri. Jaga ubat anda dengan sebaik-baiknya. Terlalu banyak ubat yang dibazirkan. Antaranya disebabkan faktor-faktor seperti:

  1. Rendahnya kesedaran pesakit di Malaysia terhadap nilai ubat tersebut.
  2. Salah cara penyimpanan ubat yang menyebabkan ubat rosak.
  3. Tidak patuh untuk mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan.
  4. Mendapat bekalan dari fasiliti yang berbeza juga menyebabkan lambakan ubat di rumah pesakit.

Terdapat pesakit yang saban bulan ke farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat kerana merasakan itu hak mereka tetapi malangnya mereka tidak patuh dengan arahan pengambilan ubat. Kesudahannya, lambakan ubat-ubat tersimpan di rumah sebagai stok yang akhirnya luput begitu sahaja. Lambakan ubat di rumah juga boleh menyebabkan berlaku kesilapan pengambilan ubat oleh pesakit. Pengalaman berhadapan dengan seorang pesakit kencing manis yang datang ke kaunter farmasi untuk memulangkan pen insulin sebanyak lebih 50 batang kerana sudah terlalu banyak disimpan di rumah sangat menyedihkan. Insulin Glargine (Lantus Solostar) tersebut bernilai RM 65.02* sebatang. Bayangkan dengan nilai lebih dari RM 3251 itu, ubat tersebut terbuang begitu sahaja. Ubat tersebut tidak boleh diguna semula kerana dikhuatiri cara penyimpanannya salah. Akhirnya ia dilupuskan begitu sahaja. Dengan bilangan ubat sebanyak itu, pen insulin tersebut boleh digunakan oleh pesakit diabetes lain untuk bekalan setahun! (bergantung kepada dos yang disarankan oleh doktor) Bagi hospital daerah yang jauh di pendalaman, 50 batang pen insulin tersebut adalah stok yang paling mewah jika dapat disimpan.

Pembaziran ubat adalah ‘penyakit’ global. Data kajian selama setahun di sebuah hospital di United Kingdom mencatatkan pembaziran ubat sebanyak RM23574 (£3979). Data ini hanya melibatkan ubat-ubatan yang diterima oleh pesakit HIV dan pesakit kegagalan buah pinggang sahaja1. Data dari Amerika Syarikat pula menganggarkan nilai ubat sebanyak RM9.4billion ($2.4B) tidak digunakan oleh warga emas yang menerima purata lima jenis ubat seorang2.

Elakkan daripada mempunyai sikap mementingkan diri sendiri dengan merasakan ubat yang anda ambil setiap bulan di farmasi adalah hak mutlak anda. Setiap biji ubat tersebut amat bernilai kepada pesakit lain. Sekiranya anda mempunyai lebihan ubat di rumah, bawalah ke farmasi dan rujuklah Pegawai Farmasi anda untuk mengetahui matlumat lebih lanjut. Ubat anda bukan hak anda.

Apa yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan pembaziran ini daripada berterusan?

  1. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi mengenai ubat yang anda ambil.
  2. Ambil tahu sekiranya terdapat perubahan dos dan frekuensi ubat anda.
  3. Simpan ubat-ubat anda mengikut tatacara penyimpanan yang betul.
  4. Sekiranya menerima atau membeli ubat daripada klinik atau hospital lain, bawa bersama ubat tersebut sewaktu temujanji.
  5. Pulangkan ubat-ubatan yang berlebihan ke farmasi.

Akhir sekali, untuk lebih menghargai ubat-ubat yang dibekalkan secara percuma kepada anda, cubalah membeli sendiri ubat tersebut di farmasi swasta. Anda pasti terkesan akan nilai sebiji ubat tersebut!

*berdasarkan Harga Panduan Pengguna di http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/apps/drug-price. Ia sebagai panduan sahaja. Harga runcit di pasaran sebenar mungkin berbeza.

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Rujukan:

  • Wong SM, Gregory J, Pacey S. Medicines wastage evaluation and prescription management in homecare medicines in Nottingham University Hospitals NHS Trust. European Journal of Hospital Pharmacy. 2015 Nov 1;22(6):369-71.
  • Law AV, Sakharkar P, Zargarzadeh A, Tai BW, Hess K, Hata M, Mireles R, Ha C, Park TJ. Taking stock of medication wastage: Unused medications in US households. Research in Social and Administrative Pharmacy. 2015 Aug 31;11(4):571-8.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box