Tahukah anda terdapat 2 jenis ubat iaitu ubat innovator dan ubat generik?
Ubat innovator ialah ubat berjenama asal yang mula diperkenalkan dalam pasaran dan dipatenkan oleh syarikat yang menemui ubat baru tersebut setelah menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan.
Ubat generik pula merupakan ubat alternatif yang mirip ubat innovator. Ubat generik mengandungi bahan aktif (bahan kimia yang memberikan kesan pengubatan dalam sesuatu jenis ubat) yang sama dengan ubat innovator dan dipasarkan setelah tarikh paten atau lesen hak cipta ubat innovator tamat. Selain itu, dos, cara ubat diambil, cara ubat bertindak, kesan teraputik dan kesan sampingan juga adalah sama dengan ubat innovator.
Sebagai contoh, Ponstan merupakan ubat innovator. Kandungan bahan aktif Ponstan ialah mefenamic acid. Setelah tempoh paten tamat, pelbagai ubat generik yang mempunyai bahan aktif yang sama dihasilkan termasuklah oleh pengilang di Malaysia seperti Beafemic, Namic, Mefic, Zeet, Pontalon dan sebagainya. Ubat generik tidak diberi nama yang sama dengan ubat innovator kerana nama tersebut telah dipatenkan.
Walaupun ubat generik mengandungi bahan aktif yang sama dan boleh ditukar ganti dengan ubat innovator, masih terdapat stigma, ketidakpercayaan dan kesukaran untuk menerima ubat generik yang mungkin disebabkan oleh beberapa mitos.
MITOS 1:
Ubat innovator lebih berkualiti, selamat dan berkesan daripada ubat generik.
FAKTA:
Semua ubat termasuk ubat generik perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan sebelum didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat. Ujian kesetaraan-bio (bioequivalence study) dijalankan ke atas ubat generik sebagai salah satu syarat pendaftaran ubat generik. Ini bagi memastikan kesan teraputiknya adalah sama dengan ubat innovator. Oleh itu, ubat generik yang didaftar dengan PBKD adalah sama berkualiti, selamat dan berkesan dengan ubat innovator.
MITOS 2:
Ubat generik mengambil masa lebih lama untuk bertindak dalam tubuh badan.
FAKTA:
Ubat generik perlu mempunyai jumlah bahan aktif, kadar peresapan dalam badan dan tahap kandungan dalam darah mengikut tempoh yang sama seperti ubat innovator. Maka masa tindakan ubat generik adalah sama dengan ubat innovator.
MITOS 3:
Ubat generik lebih murah daripada ubat innovator kerana dikilangkan di fasiliti yang mempunyai kualiti yang kurang memenuhi piawaian.
FAKTA:
Ubat generik biasanya lebih murah daripada ubat innovator kerana tidak memerlukan kos penyelidikan dan pembangunan peringkat awal, kos pemasaran dan kos promosi seperti ubat innovator. Selain itu, sekiranya terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan dan menjual ubat generik yang sama, persaingan antara mereka juga boleh menyumbang kepada harga yang lebih kompetitif. Pemeriksaan berkala dan penilaian dilakukan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bagi memastikan semua pengilang ubat mematuhi Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practice) dan mematuhi piawai yang ditetapkan.
MITOS 4:
Ubat generik dan ubat innovator kelihatan berbeza kerana kandungannya berbeza.
FAKTA:
Bentuk, warna dan rasa ubat-ubat generik tidak semestinya sama dengan ubat innovator. Ini bergantung kepada syarikat pengeluar ubat generik tersebut. Walaupun terdapat perbezaan, ini tidak mempengaruhi keberkesanan ubat tersebut kerana bahan aktifnya tetap sama. Jangan kenali ubat melalui warna, bentuk, rasa atau nama jenamanya tetapi kenalilah ubat dengan nama bahan aktifnya.
Srima Elina binti Samsuri adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- Thomas, R., & Vitry, A. (2009). Consumers’ perception of generic medicines in community pharmacies in Malaysia. South Med Rev, 2(2), 20-23.
- Pharmaceutical Services Division, Ministry of Health Malaysia. (2013). What prescribers should know about generic medicines. http://www.pharmacy.gov.my/v2/en/documents/what-prescribers-should-know-about-generic-medicines.html
- http://portal.bpfk.gov.my/pdf
- www.knowyourmedicine.gov.my