Ubat-Ubatan Dalam Rawatan Ketidaksuburan – Nurulhidayah Khairudin (Pegawai Farmasi)

            Menurut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ketidaksuburan merujuk keadaan kesukaran untuk hamil walaupun selepas hubungan seksual secara tetap tanpa kaedah kontrasepsi selama setahun. Kadar kesuburan di Malaysia didapati telah menurun dengan ketara daripada 4.0 bayi bagi setiap wanita pada tahun 1980 kepada 2.1 pada tahun 2020. Kadar ini terus menurun kepada 1.7 pada tahun 2021.

            Antara faktor yang meningkatkan risiko masalah ketidaksuburan dalam kalangan wanita dan lelaki termasuklah:

  • masalah berkaitan penghasilan telur (ovulasi) yang mungkin berpunca daripada sindrom ovari polisistik (PCOS), ketidakseimbangan hormon atau pembedahan pada ovari
  • tiub fallopio yang tersumbat akibat penyakit kelamin atau masalah endometriosis
  • ketumbuhan seperti sista (cyst) atau fibroid di dalam kaviti uterus
  • sperma yang abnormal atau tidak berkualiti akibat keabnormalan kongenital masalah hormon, jangkitan pada testis, testis tidak berada di dalam kantung skrotum atau masalah salur darah pada skrotum (varikosele)
  • berat badan yang berlebihan
  • tabiat merokok
  • terdedah kepada sumber radiasi atau bahan kimia secara berpanjangan

Terdapat juga masalah ketidaksuburan yang berpunca daripada faktor yang tidak dapat dikenal pasti dan diklasifikasikan unexplained infertility.

            Masalah ketidaksuburan boleh diatasi dengan rawatan kesuburan sama ada melalui kaedah perubatan, pembedahan atau kedua-duanya sekali. Pemilihan rawatan ketidaksuburan bergantung kepada punca dan tempoh ketidaksuburan serta umur dan pilihan pasangan. Selain itu, rawatan ketidaksuburan memerlukan komitmen yang tinggi dari segi masa, kewangan serta kesihatan fizikal dan mental daripada pasangan yang ingin menjalani rawatan tersebut.

 

Ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan

            Kaedah perubatan merupakan antara rawatan utama ketidaksuburan dalam kalangan wanita yang mempunyai masalah ovulasi yang tidak teratur. Ubat-ubatan ini menghasilkan kesan seperti hormon semula jadi badan, iaitu follicle-stimulating hormone (FSH) dan luteinizing hormone (LH) untuk merangsang proses ovulasi dan membantu dalam penghasilan telur yang lebih baik atau lebih banyak. Antara ubat yang digunakan untuk rawatan ketidaksuburan termasuklah:

  • clomiphene

            Clomiphene bertindak dengan merangsang proses ovulasi. Kesan sampingan clomiphene yang biasa berlaku ialah sakit kepala, peningkatan suhu badan dan rasa hangat (hot flushes). Antara risiko rawatan menggunakan clomiphene ialah kebarangkalian untuk kehamilan kembar dan sindrom hiperstimulasi ovari.Selain itu, ubat ini juga boleh menyebabkan gangguan penglihatan. Pesakit dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu atau melakukan aktiviti yang memerlukan penumpuan atau penglihatan yang jelas

  • gonadotropin

            Suntikan gonadotropin tidak merangsang kelenjar pituitari tetapi ubat ini disuntik bagi menggalakkan ovari menghasilkan lebih banyak telur. Bukan itu sahaja, gonadotropin juga berfungsi untuk mematangkan telur dan merangsang pengeluaran telur dalam tempoh ovulasi. Kesan sampingan gonadotropin yang biasa berlaku ialah iritasi pada tempat suntikan, sakit kepala, loya, kembung dan rasa sakit pada bahagia abdomen. Penggunaan ubat ini juga meningkatkan kebarangkalian untuk mengalami sindrom hiperstimulasi ovari dan kehamilan kembar.

  • bromocriptine

Terdapat juga ubat-ubatan bukan dalam kategori hormon yang digunakan dalam rawatan ketidaksuburan. Salah satunya ialah ubat daripada kumpulan dopamine agonist iaitu bromocriptine. Ubat ini boleh digunakan apabila masalah ketidaksuburan didapati berlaku disebabkan oleh masalah penghasilan hormon prolaktin yang berlebihan oleh kelenjar pituitari. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami ialah loya, pening, muntah, sakit kepala dan sembelit.

Walaupun terdapat beberapa pilihan ubat untuk membantu masalah ketidaksuburan, pasangan suami isteri tidak seharusnya mengambil ubat tersebut tanpa arahan doktor. Pengambilan ubat tanpa pemantauan doktor berisiko memudaratkan pesakit.

 

Nasihat untuk pesakit dan orang awam

Selain mendapatkan rawatan perubatan, pasangan suami isteri digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah dengan mengambil diet yang seimbang, melakukan senaman secara berkala dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

Mereka juga disaran untuk mengelakkan perkara yang dapat menjejaskan kesuburan seperti merokok, mengambil alkohol dalam kuantiti yang berlebihan dan aktiviti yang meningkatkan risiko penyakit berjangkit melalui hubungan seksual. Di samping itu, komunikasi yang baik antara suami dan isteri juga adalah penting. Sokongan psikologi daripada pasangan, keluarga atau rakan serta sesi kaunseling dapat membantu pesakit mengatasi tekanan yang mungkin berlaku.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

 

Artikel ini ditulis oleh Nurulhidayah Khairudin, Pegawai Farmasi Hospital Taiping untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Rujukan:

 

  1. Female Infertility (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/female-infertility/diagnosis-treatment/drc-20354313)
  2. Overview of Common Fertility Treatment Drugs (https://www.verywellfamily.com/fertility-drugs-1960184#the-most-common-fertility-drug-clomid)
  3. Kesukaran untuk Hamil (http://www.myhealth.gov.my/kesukaran-untuk-hamil/)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box