Ubat-Ubatan Untuk Rawatan Terkucil (Inkontinens Urinari) -Zanariah Abu Bakar (Pegawai Farmasi)

Inkontinens urinari (IU) atau urinary incontinence dalam Bahasa Inggeris merupakan masalah kegagalan mengawal pembuangan air kencing hingga menyebabkan penghidapnya membuang air kencing tanpa disengajakan (terkucil). Masalah IU memberi kesan kepada aktiviti harian dan sosial penghidapnya. IU membataskan  pekerjaan, aktiviti fizikal seperti senaman, aktiviti yang membawa keseronokan seperti melancong dan juga fungsi seksual. Kajian mendapati IU dikaitkan dengan tahap kualiti hidup yang rendah secara signifikan dalam kalangan individu yang mengalaminya.

 

Jenis-jenis IU dan faktor penyebab

Terdapat 4 jenis IU, iaitu inkontinens stres (stress incontinence), inkontinens desakan (urge incontinence), inkontinens campuran (mixed incontinence) dan inkontinens limpahan (overflow incontinence).

  • Inkontinens stres berlaku disebabkan peningkatan tekanan pada ruangan abdomen, contohnya apabila ketawa, bersin, batuk atau semasa melakukan aktiviti fizikal yang memberi tekanan kepada ruang abdomen dan pundi kencing.
  • Inkontinens desakan atau dikenali juga sebagai sindrom pundi kencing terlalu aktif (overactive bladder syndrome, OAB) berpunca daripada otot pada dinding pundi kencing yang terlalu aktif yang menyebabkan pesakit perlu ke tandas dengan segera apabila terdapat gesaan untuk membuang air kencing.
  • Inkontinens campuran terjadi apabila faktor yang menyebabkan inkontinens stres dan inkontinens desakan berlaku pada masa yang sama
  • Inkontinens limpahan merupakan keadaan apabila pesakit membuang air kencing tanpa sengaja akibat pengosongan pundi kencing yang tidak sempurna.

Rawatan untuk IU

Secara umumnya, rawatan untuk IU ditentukan berdasarkan jenis IU yang dihidapi. Rawatan biasanya bermula dengan perubahan gaya hidup, rawatan tanpa ubat-ubatan dan rawatan dengan ubat-ubatan. Selain itu, terdapat juga sebilangan pesakit yang perlu menjalani pembedahan.

  • Perubahan gaya hidup

Pesakit yang mengalami IU disarankan untuk mengehadkan pengambilan air kerana pengambilan secara berlebihan boleh memudaratkan keadaan. Pengambilan air sebelum waktu tidur hendaklah dielakkan supaya masalah inkontinens pada waktu malam tidak berlaku. Pesakit juga dinasihatkan untuk mengurangkan air berkarbonat dan minuman yang mengandungi kafein. Pesakit yang berlebihan berat badan atau obes pula dinasihatkan supaya menurunkan berat badan untuk mengurangkan risiko mendapat IU.

  • Rawatan tanpa ubat-ubatan

            Terdapat dua kaedah rawatan tanpa ubat-ubatan yang lazim dilakukan untuk membantu pesakit IU mengawal gejala inkontinens iaitu senaman lantai pelvik (pelvic floor exercise) dan latihan pundi kencing (bladder retraining). Kedua-dua latihan ini diajar kepada pesakit dengan matlamat untuk membantu pesakit memanjangkan masa antara waktu pembuangan air kencing serta dapat menambahkan keupayaan takungan pundi kencing dan seterusnya mengurangkan kejadian pembuangan air kencing tanpa disengajakan.

  • Rawatan menggunakan ubat-ubatan

            Pesakit juga berkemungkinan memerlukan ubat-ubatan selepas pemeriksaan menyeluruh oleh doktor. Ubat- ubatan yang digunakan untuk rawatan IU bertindak untuk mengurangkan rasa gesaan untuk membuang air dan membantu menguatkan otot pada pundi kencing.

 

Ubat-ubatan untuk rawatan IU

 

Antara ubat-ubatan yang digunakan bagi rawatan masalah IU termasuklah:

  • Ubat kumpulan antimuskarinik

Ubat yang lazim digunakan sebagai pilihan utama untuk rawatan IU, khususnya inkontinens desakan ialah ubat kumpulan antimuskarinik. Ubat ini bertindak dengan mengurangkan kekerapan dan rasa gesaan untuk membuang air kencing. Contoh ubat antimuskarinik ialah tolterodine, solifenacin, oxybutynin dan propiverine. Pemilihan ubat dilakukan oleh doktor berdasarkan kesesuaian ubat dengan gejala yang dialami oleh pesakit. Kesan sampingan ubat antimuskarinik termasuklah mengantuk, penglihatan kabur, mulut menjadi kering dan jantung berdebar-debar.

  • Mirabegron

Ubat mirabegron merupakan alternatif bagi pesakit yang tidak menunjukkan kesan yang positif selepas penggunaan ubat-ubatan pilihan utama. Mirabegron bertindak pada otot di pundi kencing dan membantu meningkatkan kapasiti pundi menampung isipadu air kencing yang lebih banyak. Dengan cara ini, kekerapan untuk membuang air kencing dapat dikurangkan. Kesan sampingan biasa bagi mirabegron ialah rasa loya, pening, selesema, sakit kepala dan nadi menjadi laju.

  • Estrogen

Ubat hormon ini boleh digunakan oleh pesakit wanita yang telah menopaus dengan kombinasi bersama-sama ubat lain untuk merawat inkontinens desakan. Sediaan mengandungi estrogen seperti krim dan pesari dapat meningkatkan paras estrogen dan seterusnya membantu dalam kawalan pundi kencing.

 

Dapatkan pemeriksaan supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan

IU ialah keadaan yang tidak hanya mempengaruhi tahap kesihatan, malah berisiko menyebabkan kesan psikologi dan mengurangkan tahap kualiti hidup pesakit. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa rawatan yang boleh dimulakan untuk membantu pesakit, selepas penilaian yang menyeluruh dilakukan oleh doktor. Pesakit yang mengalami gejala IU dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut agar rawatan yang bersesuaian dapat diberikan. Rawatan yang efektif mengikut kesesuaian individu harus menjadi keutamaan supaya manfaat yang diperoleh dapat dioptimumkan.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

Artikel ini ditulis oleh Zanariah Abu Bakar seaorang pegawai farmasi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

 Rujukan:

  1. https://emedicine.medscape.com/article/452289-overview?src=mbl_msp_iphone&ref=email
  2. http://www.myhealth.gov.my/en/urinary-incontinence/
  3. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=inkontinens&d=94740&#LIHATSINI
  4. Management of urinary incontinence in postmenopausal women: An EMAS clinical guide
  5. https://specialty.mims.com/urinary%20incontinence/signs%20and%20symptoms?channel=urology
  6. https://www.nhs.uk/conditions/urinary-incontinence/
  7. https://uroweb.org/guidelines/non-neurogenic-female-luts/chapter/disease-management
  8. Peate I. Urinary incontinence in women: treatment recommendations. Br J Nurs. 2019;28(22):1486–1488. doi: 10.12968/bjon.2019.28.22.1486.
  9. Batmani S, Jalali R, Mohammadi M, Bokaee S. Correction: Prevalence and factors related to urinary incontinence in older adults women worldwide: a comprehensive systematic review and meta-analysis of observational studies. BMC Geriatr. 2022 May 25;22(1):454. doi: 10.1186/s12877-022-03111-6. Erratum for: BMC Geriatr. 2021 Mar 29;21(1):212. PMID: 35614400; PMCID: PMC9134701.
  10. Urinary incontinence and pelvic organ prolapse in women: management-NICE guideline [NG123]Published: 02 April 2019 Last updated: 24 June 2019
  11. Pizzol D, Demurtas J, Celotto S, Maggi S, Smith L, Angiolelli G, Trott M, Yang L, Veronese N. Urinary incontinence and quality of life: a systematic review and meta-analysis. Aging Clin Exp Res. 2021 Jan;33(1):25-35. doi: 10.1007/s40520-020-01712-y. Epub 2020 Sep 22. PMID: 32964401; PMCID: PMC7897623.
  12. Dhillon, Hardip & AZ, MZain & Quek, Kia Fatt & Singh, Harbindarjeet & Kaur, Gurpreet & Nordin, Rusli. (2016). Prevalence and Risk Factors of Urinary Incontinence and its Impact on the Quality of Life and Treatment Seeking Behavior among Malaysian Women: A Review. Journal of Women’s Health Care. 05. 10.4172/2167-0420.1000337.
  13. https://familydoctor.org/condition/urinary-incontinence/
  14. Urinary Incontinence in Women: Evaluation and Management JOCELYN S. HU, MD, AND ELYSE FIORE PIERRE, MD Am Fam Physician. 2019;100(6):339-348
  15. Najafi, Zahra, et al. “Urinary incontinence and related quality of life among elderly women in Tabas, South Khorasan, Iran.” BMC urology 22.1 (2022): 1-9.
  16. https://familydoorg/kegel-exercises-for-your-pelvic-muscles/
  17. https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/mirabegron-oral-route/side-effects/DRG-20075675?p=1
  18. https://www.niddk.nih.gov/health-information/urologic-diseases/bladder-control-problems/treatment
  19. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/urinary-incontinence/diagnosis-treatment/drc-20352814
  20. http://myhealth.moh.gov.my/inkontinen-urin/
  21. https://emedicine.medscape.com/article/452289-medication
  22. https://i.pharmacy.gov.my/fukkm?title=toxin&category=All&indications=&dosageform=&system_group=All

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box