Ubat-Ubatan Untuk Rawatan Vena Varikos – Nurul Amira Zunaidi (Pegawai Farmasi)

Sebilangan individu, khususnya wanita dewasa mengalami masalah saluran darah yang seakan-akan mengembang dan kelihatan kebiru-biruan dengan ketara, terutamanya pada bahagian kaki. Masalah kesihatan ini dipanggil vena varikos iaitu sejenis penyakit berkaitan salur darah jenis vena. Pesakit yang menghidap masalah ini lazimnya akan mengalami vena yang membengkak dan mengembang.

Vena varikos melibatkan masalah aliran darah yang disebabkan oleh kegagalan injap vena untuk berfungsi secara optimum. Hal ini menyebabkan darah terkumpul di dalam vena dan seterusnya memberikan tekanan terhadap vena. Keadaan ini boleh berlaku pada salur darah di mana-mana bahagian badan namun lebih kerap berlaku pada bahagian kaki. Lama-kelamaan vena akan kehilangan sifat elastik dan akhirnya mengembang secara kekal.

Faktor risiko dan gejala bagi vena varikos

Beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan vena varikos, termasuklah:

  • Wanita
  • Berumur antara 40 hingga 80 tahun
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami vena varikos
  • Mengalami batuk dan sembelit berpanjangan
  • Obes
  • Mengandung
  • Kerap berdiri terlalu lama

 

Selain bonjolan salur darah pada kulit yang kelihatan kebiru-biruan akibat vena yang membengkak, terdapat juga beberapa gejala lain yang dialami oleh pesakit seperti bengkak pada bahagian betis, buku lali dan tapak kaki. Otot kaki juga akan menjadi mudah letih dan lenguh menyebabkan kaki berasa berat dan membataskan pergerakan.

Sebilangan pesakit mungkin berasa tidak selesa, sakit dan hangat pada bahagian salur darah yang timbul. Selain itu, bahagian tersebut juga mudah mengalami kegatalan dan dalam beberapa kes yang lebih serius, bahagian tersebut mungkin akan mengalami ulser atau luka.

Rawatan bagi vena varikos

 

Secara umumnya, terdapat beberapa rawatan yang boleh dipertimbangkan untuk vena varikos. Doktor yang merawat akan menilai status kesihatan dan tahap keseriusan vena varikos yang dihidapi oleh pesakit untuk menentukan rawatan yang paling sesuai.

Kaedah bukan farmakologi yang turut dikenali sebagai rawatan konservatif dipertimbangkan oleh pesakit yang menghidap vena varikos. Penggunaan stoking tekanan merupakan kaedah yang sesuai untuk pesakit yang mengalami masalah vena varikos pada kaki. Stoking tekanan ini boleh didapati dengan mudah di pasaran, contohnya yang dijual di farmasi komuniti. Ahli farmasi di farmasi komuniti boleh memainkan peranan dalam memilih stoking tekanan yang bersesuaian untuk pesakit.

Selain itu, doktor yang merawat juga boleh mencadangkan pengambilan ubat tablet dengan kombinasi diosmin dan hesperidin. Ubat ini dapat meningkatkan keanjalan vena yang seterusnya menguatkan salur darah tersebut. Ubat ini juga dapat membantu melindungi salur darah kecil. Tablet kombinasi diosmin dan hesperidin biasanya perlu diambil 2 kali sehari. Kesan sampingan ubat ini termasuklah cirit-birit, rasa loya, sakit perut, kegatalan kulit dan ruam. Di samping itu, wanita yang sedang menyusukan bayi harus mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat ini.

Terdapat juga pilihan prosedur atau kaedah pembedahan, contohnya skleroterapi yang boleh dijalankan bagi pesakit yang bersesuaian selepas pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor. Menerusi skleroterapi ini, ubat sodium tetradecyl sulphate akan disuntik pada vena yang bermasalah. Ubat ini mengurangkan pengembangan salur darah dan menggalakkan pengaliran darah ke dalam salur darah yang masih normal. Secara tidak langsung, kesan ini dapat membantu memudarkan salur darah yang timbul akibat vena varikos secara perlahan-lahan.

Suntikan sodium tetradecyl sulphate biasanya digunakan untuk keadaan vena varikos yang tidak serius. Rawatan skleroterapi ini tidak menghasilkan kesan yang kekal dan mungkin perlu dilakukan beberapa kali bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Kesan sampingan bagi suntikan sodium tetradecyl sulphate termasuklah rasa sakit, kegatalan atau ulser pada tapak suntikan, sakit kepala, loya dan muntah.

Nasihat untuk pesakit dan orang awam

Walaupun terdapat pelbagai faktor yang boleh meningkatkan risiko vena varikos, namun masalah ini dapat dicegah. Orang awam disaran untuk menyesuaikan gaya hidup dan aktiviti seharian untuk mengurangkan risiko vena varikos. Antaranya termasuklah mengelak daripada kekal dalam keadaan duduk atau berdiri terlalu lama agar pengaliran darah sentiasa lancar. Orang awam juga dinasihatkan untuk memilih pakaian yang selesa dengan saiz dan bentuk tubuh serta tidak mengenakan seluar yang terlalu ketat. Individu yang obes hendaklah berusaha untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan senaman secara konsisten.

Sebagai kesimpulannya, vena varikos merupakan penyakit saluran darah yang berisiko menjejaskan kesihatan dan mengurangkan kualiti kehidupan seseorang. Langkah pencegahan yang bersesuaian boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko vena varikos. Dapatkan juga nasihat doktor dengan segera sekiranya mula mengalami gejala vena varikos agar rawatan dapat diberikan sekiranya perlu.

Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).

Artikel ini ditulis oleh Nurul Amira Zunaidi,  Pegawai Farmasi Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Rujukan:

  1. Hamdan A.(2012) Management of varicose veins and venous insufficiency.JAMA.; 308:2612–2621
  2. Jones, RH & Carek, PJ (2008) Management of Varicose Veins. Am Fam Physician. 2008 Dec 1;78(11):1289-1294.
  3. Tucker, R (2019) How can pharmacists help patients with varicose veins? https://www.thepharmacist.co.uk/clinical/how-can-pharmacists-help-patients-with-varicose-veins/ (Retrieved 10 Jan 2020)
  4. Adenan, MS (2014) Vena varikos.MyHealth portal. http://www.myhealth.gov.my/vena-varikos/  (Retrieved 10 Jan 2020)
  5. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/sclerotherapy/about/pac-20384592
  6. https://go.drugbank.com/drugs/DB00464
  7. https://www.drugs.com/mtm/sodium-tetradecyl-sulfate.html
  8. https://www.merckmanuals.com/professional/cardiovascular-disorders/peripheral-venous-disorders/varicose-veins#Treatment_v941547
  9. https://bestpractice.bmj.com/topics/en-gb/630
  10. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/varicose-veins/symptoms-causes/syc-20350643
  11. https://www.aafp.org/pubs/afp/issues/2019/0601/p682.html
  12. Sodium Tetradecyl Sulphate | Intranet Pharmacy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box