Ujian Stres Senaman (Exercise Stress Test): Cara dan Bagaimana– Dr Chiam Keng Hoong

Pengenalan

Sumber gambar: www.westland-clinic.com

Sebagai penerangan, ujian stress senaman ialah suatu prosedur yang melibatkan seseorang pesakit menjalani sesi senaman seperti jogging atau berbasikal dengan wayar disambungkan ke dada pesakit untuk merekod aktiviti elektrik jantung mereka sepanjang fasa yang berbeza-beza, yang ingin disiasat oleh doktor.

Sambil data elektrik dirakam di monitor yang dikendalikan oleh juruteknik jantung dan doktor, mereka juga memerhatikan tanda-tanda yang timbul menurut perubahan corak elektrik jantung anda. Stress pada jantung anda boleh dikenalpasti mengikut jenis-jenis senaman dan dapat menunjukkan kesumbatan pada arteri-arteri koronari.

 

Persediaan

Suatu borang persetujuan akan diberikan untuk diisi sebaik sahaja selepas anda mendapat taklimat kaedah-kaedah ujian stress senaman, indikasi dan apa yang harus lalui semasa ujian.

Doktor atau jururawat anda akan menasihati agar anda membawa sepasang kasut sukan dan memakai pakaian sukan agar pergerakan menjadi mudah semasa jogging. Pakailah pakaian yang ringan-ringan untuk memudahkan senaman atau apa jua pakaian yang biasa anda pakai untuk berjalan-jalan waktu pagi atau petang. Yang mustahak ialah memastikan sepatu anda selesa untuk mengelak gelincir atau jatuh di atas ‘treadmill’.

Ambil sarapan ringan sebelum datang menjalani prosedur. Anda tidak mahu berlari dengan prut yang penuh. Kebanyakan orang yang makan sarapan berat akan mengadu rasa loya dan ada yang muntah lalu ujian terpaksa dibatalkan.

Berdasarkan pengalaman penulis, cara persediaan terbaik untuk menjalani ujian stress senaman ialah dengan berjoging atau berjalan pantas sebelum melakukan prosedur tersebut. Buatlah 3 ke 4 sesi berjalan pantas dan perlahan-lahan meningkat ke jogging dalam seminggu selama 30-40 minit setiap sesi. Itu yang saya biasa syorkan kepada pesakit-pesakit saya.

Indikasi

Berikut ialah beberapa indikasi:-

  • Sakit dada masa bekerja atau berehat – sama ada yang samar-samar (atipikal) atau tipikal
  • Sesak dada
  • Rasa debar
  • Pusing kepala yang dirasakan berpunca daripada jantung
  • Penaksiran semula “restratification” (pasca pembedahan jantung atau ‘stenting’)

Kontraindikasi

Ujian stress senaman tidak sesuai apabila ada:

  • Baru mendapat serangan jantung
  • Degup jantung tidak terkawal dengan ritma elektrikal yang abnormal dan ada didokumenkan
  • Kegagalan jantung tidak terkawal
  • Tekanan darah tinggi tidak terkawal
  • Pengerasan dan penyempitan injap jantung yang teruk (stenosis aorta)
  • Gumpalan darah dalam salur darah utama jantung dan paru-paru
  • Radang akut (kecederaan) pada lapisan jantung (miokarditis/perikarditis)

 

Prosedur 

Sebuah mesin ujian stress senaman di Hospital Keningau. Perhatikan ‘treadmill’ boleh menambah kelajuan dan kecerunan dan bersambung dengan monitor yang merunut aktiviti jantung pesakit. Sebuah mesin cetak bersambung dengan monitor untuk mencetak tahap-tahap ujian untuk kegunaan dan tafsiran doktor.

 

Fasa dan Tahap Ujian Stres Senaman berdasarkan Protokol Bruce

Tahap rehat atau pra-ujian – selalunya selama 4-6 minit, ia merekodkan garis dasar pola elektrikal jantung anda, kadar degupan dan apa-apa ketaknormalan pada garis dasar.

  1. Tahap 1 – kecerunan mendaki 10% dengan laju 2.75 km/j selama 3 minit.
  2. Tahap 2 – kecerunan mendaki 12% dengan laju 4.00 km/j selama 3 minit.
  3. Tahap 3 – kecerunan mendaki 14% dengan laju 5.47 km/j selama 3 minit
  4. Tahap 4 – kecerunan mendaki 16% dengan laju 6.70 km/j selama 3 minit

Tahap pemulihan – kecerunan mendatar dan ‘treadmill’ menjadi perlahan sehinggalah ia berhenti, pesakit diberi pilihan untuk berdiri sebentar atau mundar-mandir keliling mesin sebelum duduk – tahap ini biasanya selama 4-6 minit.

Sesetengah tempat mengizinkan ujian naik ke Tahap 5 atau 6, tetapi ia jarang dilakukan melainkan semata-mata sebagai penilaian fungsi, dan dalam banyak kes, andainya pesakit berjaya mencapai Tahap 4 tanpa bersusah-payah, tahap-tahap yang lebih tinggi dikira tidak perlu.

Setiap tahap ujian stress akan dituruti oleh catatan tekanan darah dan kadar degupan secara automatik. Ini penting supaya juruteknik jantung atau doktor boleh memilih untuk menghentikan ujian lebih awal jika anda sesak nafas, sakit dada atau pening.

 

Keputusan dan tafsirannya

Ada tiga keputusan utama yang patut anda jangkakan.

Ujian stres positif – bermakna ada bukti kukuh menunjukkan terdapat kesumbatan pada salur koronari. Namun, tidak diketahui berapa banyak salur yang tersumbat atau tahap kesumbatan berdasarkan jalur rekod yang ada.

Ujian stress negatif – bermakna anda sihat dan salur koronari tiada masalah.

Keputusan tak konklusif – para doktor tidak dapat memberi laporan lengkap kerana pesakit tidak mencapai tahap sepatutnya atau kadar degupan jantung tidak mencapai sasaran dan respn yang dikehendaki. Kegagalan mencapai kadar degupan sasaran selalunya bermaksud ujian stress itu submaksimum.

Jangkaan Pasca Ujian

Jika ujian stress anda negatif, dan bergantung kepada faktor-faktor risiko yang anda ada bersabit dengan keadaan kesihatan yang lain, doktor boleh meminta agar ujian lain dilakukan pada masa depan untuk menaksir semula jantung anda. Walau bagaimanapun, jika ujian tidak konklusif, seorang pakar yang lebih senior akan dirujuk dan jika beliau merasakan perlu, ujian ulangan akan dijadualkan dalam beberapa hari atau minggu. Dalam kes-kes lain, suatu modaliti diagnosis lain akan ditawarkan dan pesakit tidak perlu berlari-lari lagi. Situasi begini lebih ideal untuk pesakit yang menghidap osteoarthritis lutut atau yang tidak biasa bekerja berat.

Ujian stres yang positif sering menjadi perhatian utama. Kebiasaannya, doktor akan memberi nasihat lanjut dan dituruti dengan penyiasatan invasive untuk mengesahkan kewujudan dan tahap kesumbatan salur darah. Ikhtiar lanjut boleh dilakukan dalam bentuk pembedahan pintasan atau ‘stenting’ bergantung kepada penemuan angiografi koronari.

Sekiranya timbul sebarang keraguan, penulis menasihatkan agar berjumpa dengan doktor untuk menjelaskan kekeliruan.

Dr. Chiam Keng Hoong seorang doktor kesihatan dalaman dan pemegang sijil MRCP. Sekarang beliau berkhidmat di Sabah. Artikel ini diterjemahkan oleh Azizul Ismie Mohd Puad daripada https://www.mmgazette.com/exercise-stress-test-the-know-hows-dr-chiam-keng-hoong/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box