Ultrabunyi: Sepintas Lalu – Azizul Ismie Mohd Puad

CDR0000618022

Sumber: https://healthy.kaiserpermanente.org/health/

Kebanyakan ibu mengandung di Malaysia pernah melalui proses imbasan ultrabunyi. Terutama sekali ibu-ibu yang kali pertama hamil; mereka akan sangat teruja melihat zuriat mereka, terapung di dalam rahim kandungan mereka. Perasaan haru yang tak tergambarkan melihat skrin hitam putih kelabu memainkan imej janin yang membesar. Sang ayah pula akan turut gembira.

Tetapi, pernahkah kita mengambil tahu, apa itu ultrabunyi? Dan apa itu pengimbasan ultrabunyi?

Ultrabunyi, atau dalam bahasa Inggerisnya, ultrasound ialah suatu fenomena fizikal  menghasilkan gelombang bunyi berfrekuensi lebih daripada 20 kiloHertz. 20 kiloHertz (kHz) bermaksud gelombang bunyi yang bergetar dengan kekerapan dua puluh ribu kali sesaat. Bunyi ini tidak boleh ditangkap oleh telinga manusia. Telinga manusia hanya mampu menangkap bunyi dalam julat 20 Hz ke 20 kHz sahaja. Sesetengah haiwan mampu berkomunikasi dengan menghasilkan atau mendengar suara yang melebihi 20 kHz. Berbeza dengan infrabunyi atau infrasound. Infrabunyi ialah getaran bunyi dengan kekerapan kurang daripada 20 Hertz. Gajah, sebagai contoh, berhubung dengan kawanan gajah yang lain sejauh berpuluh-puluh kilometer menggunakan infrabunyi.

Imbasan ultrabunyi pula bermaksud, suatu proses pengimejan menggunakan ultrabunyi dengan asas prinsip pantulan gelombang bunyi. Isyarat bunyi dipancar oleh transduser yang dipegang pada tangan dan pantulan gema yang kembali setelah menghentam objek, jisim atau tisu dalam tubuh akan diterima dan ditafsir dan diterjemah dalam bentuk imej hitam putih. Walaupun prinsipnya agak rumit, tetapi melalui inovasi ultrabunyi para saintis telah berjaya untuk menghasilkan saat-saat keharuan pasangan muda tanpa susah payah para saintis diambil cakna pun.

Fenomena pengesanan objek dengan gema ini bukanlah baru. Kelawar dan dolfin telah mencari rezeki mereka dengan prinsip ini sejak zaman-berzaman. Ini dinamakan ‘echo-location’ atau pelokasian gema.  Dalam perkapalan dan pertahanan, sistem radar dan sonar menggunakan prinsip ini. Seorang doktor berbangsa Scot bernama Ian Donald telah menggunakan prinsip ini untuk pertama kalinya dalam bidang perubatan sakit puan pada tahun 1957.

Sejak penemuannya pada tahun 1957, ultrabunyi telah mengalami pelbagai perkembangan dan pembaharuan. Pada awal-awal penciptaannya, mesin ultrabunyi turut menggunakan tab mandi. Subjek akan duduk di dalam air sementara transduser dipasang pada gantri dan berpusing mengelilingi subjek. Seolah-olah mesin MRI yang kuno. (nota: gelombang bunyi bergerak lebih efisien menerusi medium air). Dengan kemajuan sistem komputer dan penciptaan gel ultrabunyi, mesin ultrabunyi menjadi lebih kecil dan imej yang terhasil juga menjadi lebih cantik dan jelas beresolusi tinggi.

Source: http://www.virtualmedicalcentre.com/health-investigation/ultrasound-ultrasound-scanning-or-sonography-and-doppler/8

Source: http://www.virtualmedicalcentre.com/health-investigation/ultrasound-ultrasound-scanning-or-sonography-and-doppler/8

Menyalahi tanggapan umum, ultrabunyi bukan berfungsi untuk menceriakan pasangan muda melihat janin semata-mata. Ultrabunyi juga digunakan sebagai alat diagnostik dalam pelbagai jenis penyakit dan kondisi perubatan lain. Contoh-contoh kegunaan ultrabunyi di luar bidang kebidanan dan sakit puan (obstetrik dan ginekologi; O&G) termasuklah kardiologi (echocardiogram), bedah am (mengesan batu hempedu, kanser hati), urologi (mengesan batu ginjal, saiz prostat, ketumbuhan testis, kemandulan lelaki), tiroid, ortopedik (mengesan kecederaan tendon), vaskular (thrombosis vena dalam, arterosklerosis karotid) dan sebagai alat bantuan mengambil sampel aspirat jarum halus. Pengimbasan ultrabunyi juga merupakan teknik pengesanan awal patologi payudara. Pengimejan ultrabunyi cuma tidak boleh mengesan kecederaan otak kerana gelombang tidak dapat menembusi tengkorak dan tidak berguna untuk peparu kerana peparu mengandungi gas kerana gelombang tidak dipantul dengan berkesan melalui medium gas.

Kelebihan pengimejan ultrabunyi ialah ia tidak melibatkan gelombang-gelombang dan radiasi elektromagnetik seperti sinar X (X-Ray), CT (computed tomography), MRI (Magnetic resonance imaging) atau PET (positron emission tomography). Ultrabunyi menggunakan gelombang getaran fizikal. Oleh kerana itu, ia selamat untuk penggunaan kerap. Ia juga tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tidak menggunakan tenaga elektrik yang banyak, dan sesuai untuk tujuan pemeriksaan saringan dan pengesanan awal. Mesin ultrabunyi tidak memakan ruang yang besar. Pesakit yang menghidapi klaustrofobia tidak perlu bimbang diusung ke dalam ruang yang sempit seperti mesin MRI dan ia tidak menimbulkan ketidakselesaan seperti mammogram.

Pengimbasan ultrabunyi merupakan teknik saringan dan diagnostik yang sering membantu para doktor dalam memberi rawatan terbaik bagi pesakit mereka. Prosedur tidak invasif ini mampu memberi maklumat penting yang diperlukan untuk membuat diagnosis yang tepat. Para pesakit pula tidak perlu risau akan kesan sampingan atau ketidakselesaan sewaktu prosedur dijalankan jika memahami prinsip pantulan bunyi di sebalik ultrabunyi.

Azizul Ismie mempunyai ijazah MD Perubatan (Odessa State Medical University, Ukraine), tetapi beralih arah dan menukar bidang ke Pengimejan Ultrabunyi. Kini, beliau memegang Diploma Pasca Ijazah dalam bidang Ultrasonografi yang diiktiraf ASUM (Australasian Society of Ultrasound Medicine). Seorang sonografer/juruultrabunyi sepenuh masa.

Rujukan

  • Applied physics and technology of diagnostic ultrasound by Roger Gent

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

 

2 comments for “Ultrabunyi: Sepintas Lalu – Azizul Ismie Mohd Puad

  1. DR DHESI BR
    September 28, 2013 at 6:00 am

    Well done, excellent explanation. Keep up the good work. U simplify them very well.

    • Azizul Ismie
      September 28, 2013 at 10:52 am

      Terima kasih. Artikel yang mudah untuk kefahaman awam. Saya bangga dapat menyumbang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box