Urat betis yang berdenyut: Achilles Tendinitis – Dr Ahmad Mahyuddin

Seorang lelaki berusia 50-an berjalan terhincut-hincut masuk ke bilik konsultasi saya. Ternyata beliau dalam kesakitan.

“Sakitnya sendi buku lali saya ni doktor.”

“Duduklah dulu Encik. Nanti saya periksa. Kat mana bahagian yang sakit tu?”

Jari telunjuk beliau dengan pantas menunjukkan urat betis di belakang buku lali kanannya.

“Berdenyut-denyut doktor. Paling sakit kalau kita berjalan atau berpijak. Kalau kita baring tu, kuranglah sikit sakitnya.”

Saya memeriksa bahagian yang ditunjukkan. Urat betis beliau, yang disebut dalam bidang perubatan sebagai Achilles tendon, terasa panas.

“Baik-baik doktor, jangan picit tau, sakit…”

Achilles – Pahlawan terhebat

Nama Achilles tendon ini berasal daripada kisah lagenda Greek yang menceritakan mengenai pahlawan Greek yang terhebat bernama Achilles atau Archilleus. Ayahnya ialah raja kepada Bangsa Myrmidons. Dikatakan setiap inci badan beliau adalah kebal daripada senjata tajam kecuali pergelangan buku lali beliau. Ini adalah kerana, sewaktu beliau masih seorang bayi, ibu beliau yang bernama Thetis, telah merendam badan beliau di dalam Sungai Styx dengan memegang pergelangan buku lali beliau, menyebabkan hanya kawasan tersebut yang menjadi tidak kebal.

Achilles dikatakan meninggal apabila buku lali beliau dipanah oleh pahlawan Trojan semasa peperangan antara Greek dan Troy.

Achilles tendonitis

Sumber gambar: Organic Facts

Urat Achilles tendon terbentuk hasil cantuman dua otot utama betis iaitu Gastrocnemius dan Soleus. Ia adalah urat tendon yang kuat dan menampung dan memindahkan antara 6 hingga 10 kali berat badan manusia ketika kita berlari melibatkan tekanan sebanyak 2000 hingga 7000 N.

Tendon Achilles tendinitis terbahagi kepada 2 iaitu “Insertional” dan “Non-insertionalAchilles tendinitis.

Insertional Achilles tendinitis

Bagi kondisi ini pesakit mengalami kesakitan pada bahagian belakang tulang tumit pada tempat lekatan tendon Achilles ini iaitu pada tulang tumit (Calcaneum). Terdapat bonjolan tulang yang timbul dan menjadi semakin besar apabila kondisi ini berlarutan. Ia juga menimbulkan kesakitan apabila bonjolan ini bergesel dengan kasut yang dipakai pesakit.

Non-Insertional tendinitis

Pesakit yang mengalami masalah ini pula akan mengadu kesakitan pada bahagian urat betis iaitu tendon Achilles 2-6cm sebelum urat ini masuk ke lokasi di belakang tulang tumit (Calcaneum). Tendon Achilles pesakit biasanya panas, bengkak dan sakit jika ditekan. Ia akan menjadi lebih teruk semasa atau selepas pesakit berjalan atau berlari.

Sumber gambar: West Ryde Podiatry

Kenapa ia terjadi?

Tendon Achilles tendinitis terjadi akibat keradangan yang berlaku pada tendon atau urat tersebut. Ia boleh berlaku sekiranya anda banyak berjalan atau berdiri terlalu lama. Pemilihan kasut atau selipar yang tidak sesuai juga boleh menyebabkan ia berlaku.

Selain daripada itu pesakit biasanya tidak mempunyai sebarang rungutan lain. Kondisi ini tidak dikaitkan dengan demam, masalah sendi atau penyakit lain.

Siasatan

Diagnosis tendinitis ini dibuat berdasarkan sejarah pesakit dan pemeriksaan klinikal. X-ray biasanya dilakukan sekiranya doktor mahu memastikan tiada keretakan atau kepatahan. Namun, bagi pesakit Insertional Achilles tendinitis yang kronik, ada masanya terlihat pembentukan tulang-tulang kecil yang dikenali sebagai bony spur pada tulang tumit dan kadangkala berlaku pembentukan tisu tulang di dalam urat tendon Achilles, keadaan yang disebut sebagai intratendinous ossification.

Rawatan

Tendon Achilles tendinitis boleh dirawat namun tempoh penyembuhannya tidak dapat dinyatakan dengan pasti. Ada pesakit yang sembuh dengan cepat dan ada pula yang mengambil masa lebih lama. Secara purata, pesakit mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk sembuh.

Rawatan melibatkan modaliti berikut:

  1. Modifikasi aktiviti harian
  2. Ubat-ubatan
  3. Fisioterapi
  4. Memilih kasut atau selipar yang sesuai
  5. Pembedahan

Dua perkara pertama yang anda boleh buat sendiri di rumah ialah mengubah atau memodifikasi aktiviti harian anda dan menggunakan kasut atau selipar yang sesuai.

Pada peringkat akut atau kesakitan yang terlalu kuat, anda perlu mengurangkan aktiviti berjalan atau berlari. Rehatkan kaki dan buku lali anda. Pakai kasut yang sedikit longgar yang tidak menekan bahagian belakang tumit anda. Memakai pad atau gel pada bahagian dalam kasut pada bahagian tumit juga boleh membantu mengurangkan keradangan. Menariknya, pemakaian kasut dengan tumit yang sedikit tinggi juga dikatakan boleh merehatkan urat tendon Achilles ini.

Bagi mengurangkan kesakitan dan menghilangkan keradangan pada tendon tersebut doktor akan memberikan anda beberapa jenis ubat. Antara ubat-ubatan tersebut adalah:

  • Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDS), contohnya Diclofenac, ibuprofen yang berfungsi bagi menyembuhkan keradangan.
  • Selective Cyclo-Oxygenase (COX)-2 Inhibitor, contohnya Celecoxib dan Etoricoxib
  • Opiods seperti Tramadol bagi mengurangkan kesakitan

Fisioterapi pula merangkumi pelbagai modaliti seperti regangan (stretching), terapi ultra bunyi (ultrasound) dan terapi ais. Terapi ais adalah rawatan yang paling mudah dan anda dapat lakukan sendiri di rumah anda. Anda cuma perlu letakkan ais pada bahagian yang mengalami keradangan selama 20 hingga 30 minit setiap 2 hingga 3 jam. Anda akan lihat betapa cepatnya kesakitan dan keradangan urat betis anda berkurangan dan menjadi bertambah baik.

Pembedahan

Pembedahan agak jarang diperlukan bagi kondisi ini. Ia hanya akan dilakukan sekiranya kesemua modaliti di atas tidak berjaya. Semasa pembedahan, sedikit torehan akan dilakukan pada bahagian belakang tumit, dan bahagian urat tendon yang rosak dan tulang-tulang kecil yang tumbuh, jika ada, akan dibuang.

Segeralah berjumpa doktor

Jika anda mengalami masalah ini dan ia tidak sembuh selepas anda menuam dengan ais, rehat dan menukar pemakaian kasut dan selipar yang sesuai, saya nasihatkan anda segera berjumpa doktor bagi rawatan lanjut. Ia adalah kondisi yang biasa berlaku dan ia boleh dirawat. Anda tidak perlu menanggungnya.

Rujukan

  1. Miller, M.D. Review of Orthopaedics, 5th, pages 388-9. Saunders Elsevier. U.S.
  2. Accessed from https://en.wikipedia.org/wiki/Achilles

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box