Vaksin COVID-19, apa yang anda perlu tahu? – Dr Mohammad Hj. Che’ Man & Dr Shahidah Che Alhadi

Adakah terdapat vaksin untuk jangkitan penyakit virus covid-19?

Sudah tentu ada.

Secara amnya terdapat 3 jenis vaksin yang telah mendapat pengiktirafan dari badan berwajib kebangsaan dan dunia untuk penggunaannya. Antaranya adalah vaksin Pfizer- BioNTech COVID-19 dan vaksin Moderna’s COVID-19. Kedua-dua vaksin ini sahaja yang dicadangkan oleh “Centre of Disease Control and Prevention” (CDC) yang berpusat di Amerika Syarikat. Vaksin-vaksin lain yang masih dalam kajian percubaan klinikal fasa ke-3 adalah seperti vaksin AstraZeneca’s COVID-19, vaksin Janssen’s COVID-19 dan vaksin Novavax’s COVID-19.

 

Apakah itu vaksin covid-19?

Ianya merupakan sejenis vaksin mRNA yang dihasilkan melalui proses yang agak jauh berbeza dengan kumpulan vaksin-vaksin yang lain. Vaksin mRNA Covid-19 ini boleh dianggap sejenis vaksin yang agak baru diperkenalkan walaupun didunia dan sebenarnya telah dikaji dengan jayanya lebih dari 30 tahun dahulu di dalam pencegahan jangkitan penyakit berjangkit. Walau bagaimanapun, prinsip asasnya adalah sama seperti penghasilan vaksin-vaksin yang lain. Dalam konteks vaksin ini, “baru” bukan itu bukan ianya bererti muda atau tidak matang, akan tetapi baru itu bermaksud ianya lebih canggih dan lebih efektif.

Seperti yang kita sedia maklum, vaksin-vaksin sebelum ini menggunakan organisma yang telah dimatikan, dinyahaktif (live attenuated vaccine) ataupun menggunakan sebahagian daripada protein yang terdapat di dalam organism itu. Ia seterusnya akan meransang system imuniti (pertahanan badan) untuk mengenal dan menyimpan memori (imbasan) tentang organisma/kuman tersebut. Apabila serangan organisma yang sama berlaku kemudiannya, sistem imuniti inilah yang akan menyerang dan memusnahkan organisma/kuman tersebut.

Untuk pengetahuan kita bersama, singkatan perkataan mRNA adalah bermaksud “Messenger RNA”. mRNA adalah molekul yang terpenting di dalam penghasilan protein oleh sel-sel badan kita. Ia membawa salinan (copy) kepada kod genetik yang akan menghasilkan sesuatu protein yang akan ditiru daripada DNA. Proses penghasilan protein ini berlaku di dalam sitoplasma dan ianya berbeza dengan DNA, mRNA yang telah menjalankan tanggungjawabnya akan dihadamkan dan dinyahkan dari sel dalam masa singkat. Salah satu protein yang penting pada virus Covid-19 adalah “spike protein” ataupun Protein S yang semestinya akan bertanggungjawab melekatkan virus kepada sel paru-paru. Protein S juga adalah protein yang akan meransang sistem imun badan seseorang.

 

 

Apakah cara tindakannya?

Pakar sains sudah mengetahui kod genetik untuk protein S dan mereka berjaya menghasilkan mRNA yang mempunyai salinan kod genetik protein S. Apabila vaksin yang mengandungi mRNA ini disuntik pada otot bahu (deltoid muscle) seseorang, ia secara automatik akan memasuki sel dan sel otot tersebut yang akhirnya akan menghasilkan protein S yang akan dihadam oleh mRNA ini dan kemudiannya akan dibawa pada permukaan sel supaya supaya system pertahanan badan dapat mengesan dan mengenalinya.

Sama seperti prinsip vaksin yang lain, sekiranya virus Covid-19 menjangkiti seseorang, sistem pertahanan badannya sudah mengenal virus ini dan ransangan sistem imun secara spontan akan berlaku. Sistem pertahanan badan yang efektif ini yang diransang akan cuba menyerang dan menghapuskan virus Covid-19, maka secara baiknya jangkitan ganas ini dapat dicegah. Jika serangan virus dapat masuk ke dalam tubuh, penerima vaksin lebih berupaya untuk melawan dan gejala yang dialami lebih ringan.

Vaksin yang berasaskan mRNA ini sebenarnya bukanlah benda yang baru kerana ianya sudah pun dikaji dan disemak semenjak 30 tahun yang lalu. Sebenarnya, ianya sudah dikaji untuk kegunaan ke atas vaksin-vaksin influenza, Zika dan jangkitan virus CMV. Secara dasarnya, vaksin ini lebih mudah dihasilkan di dalam makmal walaupun dalam kuantiti yang banyak berdasarkan molekulnya yang lebih ringkas, maka penghasilan vaksin melalui mRNA adalah lebih mudah dan cepat. Cuma masalah kelemahan vaksin mRNA yang ketara adalah kerana ianya tidak begitu stabil bagi menghalangnya dari termusnah dari suhu yang tinggi yang memerlukan perlindungan.

Bagaimanakah cara penyimpanan vaksin ini?

Vaksin mRNA keluaran syarikat Pfizer perlu disimpan pada suhu yang rendah iaitu -70 0C dan jika dibiarkan dalam suhu peti ais biasa, ia akan termusnah dengan sendirinya dalam masa 5 hari sahaja. Syarikat Moderna telah mendakwa bahawa vaksin mereka adalah lebih tahan lama dan ianya boleh disimpan di dalam suhu yang lebih tinggi.

Adakah vaksin ini untuk perlindungan sepanjang hayat?

Ianya terlalu awal untuk mengatakan vaksin ini untuk pertahanan sepanjang hayat. Kajian-kajian sientifik perlu lagi dilakukan bagi memastikan keberkesanannya. Walau bagaimanapun, data-data terkini telah menunjukkan bahawa pesakit-pesakit yang telah pulih dari penyakit jangkitan covid-19 mempunyai perlindungan untuk sesuatu jangka yang agak panjang dan banyak lagi kajian dalam proses penilaian dan pengakajian yang selanjutnya.

Adakah ianya selamat?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah antara badan yang memantau keberkesanan dan keselamatan penghasilan vaksin ini. Kebanyakan vaksin ini telah memasuki fasa ke3 percubaan klinikal dengan keputusan awal yang sangat baik. Vaksin-vaksin ini telah melalui kajian klinikal berkualiti tinggi (double blind placebo controlled trial) dari kajian praklinikal di dalam makmal, kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3. Berdasarkan kepada penilaian badan berwajib dari badan “Food and Drug Administration” (FDA) yang berpengkalan di Amerika Syarikat, kedua-dua vaksin ini juga didapati sangat selamat digunakan, dimana kesan sampingannya adalah kebanyakannya ringan dan tidak lama. Hanya 2-3% sahaja penerima vaksin mengalami gejala yang sedikit berat (mengganggu tugas harian) seperti sakit kepala dan letih sama seperti vaksin-vaksin yang lain. Kesemua gejala2 ini adalah bersifat sementara. Kesan sampingan ini memang dijangkakan dan ianya sepatutnya dianggap petunjuk kepada reaksi tubuh yang normal terhadap reaksi suntikan vaksin. Sesungguhnya, pada 11hb Disember 2020, badan FDA telah memberi kebenaran secara kecemasan kepada syarikat Pfizer-BioNTech untuk mengedarkan vaksin Covid-19 secara meluas bagi kegunaan pencegahan jangkitan Covid-19 ke atas individu berusia bermula umur 16 tahun ke atas.

 

Syarikat penghasilan vaksin yang terlibat?

Sekurang2nya dua syarikat gergasi dan berpengalaman telah menghasilkan vaksin Covid-19 yang berasaskan mRNA iaitu)  Pfizer-Biontech (BNT162b2) dan Moderna (mRNA 1273). Kedua-dua vaksin ini diberi dalam dua suntikan iaitu vaksin Pfizer (30 ug/dos) dalam masa 21 hari dan vaksin moderna (100 ug/dos) dalam masa 28 hari. Melalui kajian yang telah dicatatkan telah menujukkan bahawa keberkesanan vaksin Pfizer adalah sehingga 95% untuk melindungi dari serangan jangkitan covid-19 manakala vaksin moderna adalah sebanyak 94.5% keberkesanannya. Vaksin dari syarikat Pfizer telah mendapat kelulusan terlebih dahulu untuk digunakan ke atas orang awam.

RUJUKAN:

  1. Covid-19 vaccines, Word Health Organisation (WHO), 2020
  2. Covid-19 Malaysia Update, Ministry of Health (MOH)

By:

ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA

(MD. UKM, MMED, (FAMILY MEDICINE) USM)

SPECIAL INTEREST: MEN HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY

DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,

KULLIYYAH OF MEDICINE,

IIUM KUANTAN PAHANG.

ASST. PROF. DR. SHAHIDAH CHE ALHADI

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR BEDAH

(MBBS.IIUM, MMED, (SURGERY) USM)

SPECIAL INTEREST: BREAST AND ENDOCRINE SURGERY

DEPARTMENT OF SURGERY,

KULLIYYAH OF MEDICINE,

IIUM KUANTAN PAHANG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box