Vaksin & Ekzema – Dr Nur Hidayati

Sesiapa yang mengenali saya pasti tahu bahawa saya sudah sekian lama bertarung dengan ekzema. Saya divaksin sepenuhnya. Sungguhpun begitu, saya tidak menyalahkan vaksin.

Anak saya juga divaksin sepenuhnya. Dia diberi susu ibu dan susu formula (walaupun saya terus memberikan susu ibu kepadanya hingga dia berumur 2 tahun). Hingga kini, walaupun dengan pemvaksinan penuh, dia tidak menghidap ekzema.

Jika benar vaksin (atau susu formula atau makanan berasaskan bahan yang diubahsuai secara genetik) merupakan penyebab ekzema, mengapa anak saya tidak menghidapinya?

 

Kira-kira 90-99% kanak-kanak di Malaysia menerima vaksin – tetapi hanya 8.5% kanak-kanak menghidap ekzema. Jika benar vaksin menyebabkan ekzema – bukankah kadar ekzema sepatutnya lebih tinggi?

Ekzema disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak terkira banyaknya, bukan sahaja vaksin. Seseorang itu boleh mendapat ekzema akibat reaksi kepada produk pencuci, cuaca panas, makanan yang beralergen, masalah alahan dalam keluarga, pencemaran udara – dan banyak lagi.

Bolehkah vaksin semasa kanak-kanak menyebabkan ekzema atau menjadikannya lebih teruk?

 

Ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan, asma atau ekzema atopi sering bertanya soalan ini. Perasaan risau adalah normal, kerana ekzema melibatkan sistem keimunan badan. Ibu bapa risau bahawa pemvaksinan boleh merosakkan sistem imun anaknya. Terdapat juga aduan ibu bapa yang mendakwa bahawa anaknya menghidap ekzema setelah menerima vaksin.

Vaksin tidak menyebabkan ekzema. Jarang-jarang sekali, simptom ekzema yang dialami sesetengah kanak-kanak menjadi lebih buruk selepas mereka menerima vaksin. Doktor yang melakukan pemvaksinan ke atas kanak-kanak yang menghidap ekzema seharusnya memberi amaran tentang kemungkinan ini kepada ibu bapa yang terlibat. Ibu bapa harus dinasihati tentang kesan-kesan advers berikutan pelalian, atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai adverse events from immunization (AEFI) yang mungkin berlaku ke atas anak-anak mereka. AEFI yang sering dialami adalah reaksi setempat pada kulit – bengkak atau kemerahan pada tempat suntikan. Reaksi seperti ini adalah biasa dan sepatutnya dijangka untuk berlaku. Reaksi setempat ini dikira sebagai “reaksi hipersensitif”. Reaksi pada kulit ini tidak dikira sebagai alergi dan tidak seharusnya dijadikan sebab untuk menghalang pemberian dos seterusnya bagi vaksin yang sama.

Bolehkah anak saya yang menghidap ekzema divaksin?

 

Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap ekzema boleh menerima semua vaksin, termasuk MMR. Ini termasuklah kanak-kanak yang tidak pernah memakan telur serta kanak-kanak yang datang dari keluarga yang ahlinya mempunyai alahan kepada telur. Jika anak anda yang menghidap ekzema perlu divaksin, anda hanya perlu memastikan bahawa doktor atau jururawat mengelakkan daripada memberi suntikan di bahagian kulit yang sakit, meradang atau luka. Sekiranya lebih dari satu suntikan diperlukan pada suatu masa, suntikan tersebut sebaiknya diberikan pada anggota yang berbeza.

Adakah terdapat pihak yang berjaya membuktikan bahawa vaksin menyebabkan ekzema?

 

Hingga kini, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa vaksin menyebabkan ekzema. Hasil daripada pelbagai kajian yang dilakukan, terdapat banyak keputusan yang bercanggah, di mana sebahagian kajian menunjukkan kaitan antara vaksin dan penyakit atopi yang lain, dan sebahagian kajian lain menunjukkan sebaliknya. Salah satu daripada kajian yang cuba menjawab persoalan ini adalah Swedish Pertussis Vaccine Efficacy Trial 1, sebuah kajian buta duaan yang melibatkan 9289 kanak-kanak yang tidak menemui sebarang kaitan antara pemvaksinan terhadap batuk kokol dan simptom asma, ekzema atau rhinitis alergi.

Saya tetap tidak mahu memvaksin anak saya – ia boleh menjadikan simptom ekzema yang dialami anak saya menjadi semakin teruk. Saya juga tidak mahu memvaksin anak-anak saya yang lain kerana mereka juga boleh menghidap ekzema

 

Dengan tidak memvaksin anak anda yang menghidap ekzema, anda telah membiarkan anak anda berhadapan dengan risiko dijangkiti pelbagai penyakit yang sepatutnya boleh dielakkan dengan pemvaksinan. Sungguhpun anak anda disahkan tidak boleh dan sepatutnya tidak divaksin (atau perlu menangguhkan pemvaksinan) atas sebab alahan sedia ada atau ekzema yang teruk – anda harus menggalakkan orang sekeliling untuk mendapatkan vaksin demi melindungi kesihatan anak anda. Anda tidak sepatutnya mengajak ibu bapa lain untuk turut menolak vaksin.

Dengan menggalakkan ibu bapa lain untuk menolak vaksin atas fahaman yang salah bahawa vaksin menyebabkan ekzema, lebih ramai orang akan terpedaya dan menolak vaksin. Dengan meningkatnya bilangan ibu bapa yang menolak vaksin, keimunan kelompok atau herd immunity dalam komuniti kita akan menurun dan menyebabkan sebahagian daripada populasi kita terdedah kepada penyakit berjangkit seperti demam campak, batuk kokol dan difteria. Jika ini berlaku, wabak penyakit boleh tercetus dan kanak-kanak yang belum mencapai usia untuk divaksin atau individu yang mempunyai masalah immunodefisiensi boleh dijangkiti. Apabila bayi dan individu yang mempunyai masalah immunodefisiensi (kekurangan keupayaan sistem imun) dijangkiti, mereka akan menerima komplikasi yang serius yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Masalah kesihatan atau perkembangan yang terbantut setelah menerima vaksin bukanlah bermaksud bahawa vaksin adalah penyebabnya. Fahaman yang salah ini disebut dalam istilah Latin sebagai ‘post hoc ergo propter hoc’, yang bermaksud ‘perkara itu berlaku sesudah sesuatu kejadian tertentu, maka kejadian itulah penyebabnya’. Fahaman ini terhasil berasaskan tanggapan bahawa jika dua kejadian berlaku berturut-turut, kejadian yang pertama sudah semestinya menjadi penyebab kejadian yang kedua.

Sebagai contoh, jika anak saya mula berjalan setelah menerima suntikan vaksin MMR, adakah ini bermaksud bahawa suntikan vaksin itu membolehkan anak saya berjalan? Saya tidak fikir begitu. Saya mula memakai cermin mata beberapa bulan selepas menerima vaksin semasa di Darjah 1 – adakah ini bermaksud bahawa vaksin menjadikan saya rabun? Secara kebetulan, saya juga hanya boleh membaca setelah menerima vaksin tersebut – mungkinkah kebolehan membaca juga berkait dengan vaksin? Seingat saya juga, saya telah mendapat keputusan yang sangat baik dalam peperiksaan selepas mendapat vaksin rubella – adakah vaksin menjadikan saya lebih bijak?

Jawapannya adalah tidak – vaksin bukanlah penyebab perkara-perkara yang telah saya sebutkan – anak saya mula berjalan, keputusan peperiksaan saya yang cemerlang, kebolehan saya untuk membaca, atau kerabunan mata saya.

Marilah kita sebagai ibu bapa membuat keputusan yang rasional dan bukan berdasarkan rasa takut dan maklumat yang tidak tepat. Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi anak-anak kita daripada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui pemvaksinan. Dapatkan maklumat yang tepat, atasi perasaan takut anda, dan pilihlah vaksin.

Dr. Nur Hidayati ialah kolumnis tetap The Malaysian Medical Gazette dan merupakan seorang Pakar Perubatan Dalaman.

Artikel ini telah diterjemahkan dari artikel asal https://www.mmgazette.com/vaccines-eczema-dr-nur-hidayati/ oleh Dr. Aini Hanan Azmi.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box