Vape dan penghapusan akta racun nikotin: Apakah kesannya? – Dr Mohd Radzniwan A.Rashid & Dr Nizam Baharom

Baru-baru ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan langkah kerajaan mengeluarkan produk nikotin yang merupakan bahan asas cecair vape, dari Akta Racun 1952.  Ia dilihat berlainan langsung dengan peraturan yang dilaksanakan oleh negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan 34 negara lain yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape.  Keputusan ini telah mengundang rasa kecewa terutama di kalangan ahli dan pakar perubatan, sebahagian persatuan dan pertubuhan  kerajaan. Usaha ke arah Generasi Penamat atau ‘Generational End Game’, iaitu satu generasi baharu bebas rokok yang diwar-warkan sedikit masa dulu, dilihat terhenti walaupun perkara sedemikian ini telah dibincangkan oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Apakah kesan penghapusan akta racun ke atas nikotin? Antara kesan yang menggusarkan adalah penjualan vape berkandungan nikotin  akan lebih meluas lagi dan ia memberi peluang ramai orang  untuk membelinya dengan lebih mudah. Sekiranya yang membeli vape tersebut adalah dari kalangan perokok yang ingin berhenti merokok ia adalah sesuatu yang baik.  Namun jikalau  pembeli vape tersebut tiada niat untuk berhenti merokok, ia adalah sesuatu yang menakutkan. Ini adalah kerana nikotin yang ada dalam vape tersebut sukar dikawal dan ada kebarangkalian ia berada pada paras yang tinggi  berbanding  yang terdapat pada setiap hisapan putung rokok. Adalah dilaporkan  bahawa kandungan nikotin dalam setiap batang rokok adalah sebanyak 1 mg , manakala bagi setiap pod vape, ia boleh mencapai sehingga lebih 4mg setiap  ml.

Lebih parah lagi apabila ia dapat dibeli oleh golongan remaja dan kanak-kanak yang terlepas daripada pemantauan yang boleh berlaku. Golongan usia  ini menghisap vape kerana ada perasaan ingin cuba  disebabkan oleh sikap ingin tahu dan berani mengambil risiko. Selain daripada itu, penyebab yang lain adalah ingin mengikut “trend” dan rasa “cool” akibat pengaruh rakan sebaya.  Hal yang demikian menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibubapa yang takut anak mereka terpengaruh tambahan pula bentuk vape sekarang  ini nampak canggih dan ia mempunyai pelbagai  bentuk menarik serta perisa hasil daripada tujuan menarik pemasaran  yang boleh menggugat jatidiri para remaja untuk membeli, lantas mencubanya.  Kesan negatif akibat vape ini juga  boleh menyumbang kepada masalah disiplin dan pelbagai masalah sosial yang menjejaskan prestasi akademik  serta hubungan sosial remaja. sepertimana yang terjadi kepada perokok di kalangan remaja.

 

Nikotin adalah dadah yang mempunyai tahap ketagihan yang tinggi. Peralihan dari produk rokok kepada vape hanyalah perubahan teknologi mengikut peredaran zaman, namun hakikatnya ialah ianya berasaskan ketagihan pengguna dan merupakan satu model perniagaan yang sangat lumayan. Apatah lagi apabila ianya telah di’halal’kan dan boleh dijualbeli tanpa kawalan perundangan.

 

Langkah terbaik yang kita boleh lakukan ialah dengan mengurangkan keberadaan produk vape di pasaran. Kita harus menyokong polisi dan matlamat Generasi Penamat agar suatu hari nanti seluruh rakyat Malaysia akan bebas dari belenggu  nikotin dan mewujudkan generasi yang lebih sihat, produktif dan berwawasan tinggi. Bagi pihak kerajaan pula, penghapusan akta ini mungkin dapat membendung kehadiran nikotin yang dijual secara haram di pasaran.  Walaubagaimanapun kesan buruk akibat vape terhadap kesihatan akan menyebabkan kos “membaiki kerosakan mental dan tubuh badan“ serta sosial adalah jauh lebih tinggi. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

 

Ditulis bersama oleh

Profesor Madya Dr Mohd Radzniwan Bin A.Rashid

Ahli Jawatan Kuasa Pertubuhan Bulan Sabit Hijau, Malaysia, dan

Pensyarah and Pakar Perubatan Keluarga

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

 

Dr Nizam Baharom

Asian Centre For Research On Drug Abuse (ACREDA), dan

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box