Zoom Fatigue: Kelesuan Maya – Dr Zul Azlin Razali

Serik Ber‘zoom’

Kalau pandemik ini tamat nanti dan kita, warga pekerja (dan pelajar), meneruskan amalan mesyuarat dan perbincangan maya, dunia akan menyaksikan penjimatan besar-besaran dari segi kos bahan api. Sebelum pandemik lagi ada yang sudah mencongak bahawa sebanyak 10% tenaga dapat dijimatkan apabila konferensi video dilakukan berbanding pertemuan fizikal di meja bulat (Ong et al 2014). Namun, belum pun pandemik tamat (saya bercakap dengan nada yang optimis sekali bahawa pandemik akan tamat), kita telah temukan istilah ‘zoom fatigue’. Hampir dua tahun masyarakat bergelumang dengan Zoom, MS Team, Webex, Facebook Live, dan Google Meet, yang pada mulanya kita teruja dengan kemudahan-kemudahan itu, tapi kini kita mengadu letih dan lesu.

Artikel kecil ini cuba menyelongkar keabsahan zoom fatigue. Apakah ia benar atau sekadar satu lagi hal trendy dan tular di zaman wabak distopia ini? Apakah dengan duduk di ruang tamu rumah dengan begitu selesa terbungkus di dalam pijama semalam dan segelas kopi bikinan sendiri di sisi untuk menjalankan perbincangan di maya dengan rakan-rakan sekerja buat kesekian kalinya, akan menyebabkan rudumnya kesihatan mental? Sama-sama kita menjemput faham supaya nanti dengan kefahaman itu kita tidak terlalu cemas dan juga tidak terlalu polos tak ambil peduli. Sebelum itu, ini bukan makalah menghentam syarikat Zoom Video Communication Inc. Zoom fatigue adalah istilah yang direka-tular untuk mewakili isu kesihatan yang berkaitan dengan apa jua platform maya yang menawarkan khidmat konferensi video.

Manusia Sebagai Spesies Sosial

Sebagai spesies sosial yang terevolusi paling hadapan, manusia memiliki kebolehan komunikasi yang sangat sofistikated. Tanyalah mana-mana penyair, kata-kata dan bahasa percakapan itu sentiasa ada magisnya. Ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa komunikasi manusia bukan sekadar lontaran kata tetapi juga pameran bahasa tubuh. Hubungan sosial tidak akan sama sekali lengkap tanpa salah satu daripada dua ini.

Proses komunikasi temu-muka sesama manusia sentiasa membangkitkan kesan fisiologi. Jika interaksi berdepan itu melibatkan teman akrab dan suasana santai tentulah kesan fisiologinya merembeskan hormon-hormon gembira seperti oxytocin dan dopamine. Dalam pengucapan awam pula, si pemidato atau penceramah pasti akan mengalami tindak-balas fisiologi tertentu, mungkin positif atau negatif, tak kiralah betapa hebat pengalamannya.

Yang menarik, Takac et al 2019 menunjukkan bahawa pengucapan awam dalam alam maya (audiens maya) juga menyebabkan tindak-balas stres yang sama. Maknanya di sini, walaupun duduk di dalam ruang keselesaan rumah sendiri di hadapan skrin komputer riba, seorang pembicara atau penceramah tetap mengalami proses fisiologi yang sama; sama seperti ketika bercakap di dalam ruang awam yang sebenar. Malahan kalau ditanya seasoned penceramah, mungkin dia akan katakan, berceramah di dunia fizikal lebih memberikannya tenaga dan semangat.

Berinteraksi dalam ruang maya lambat laun jadi merimaskan dan tidak menyihatkan bukan sahaja kerana kita tidak dapat bergerak secara fizikal. Memang sudah dimaklumi bahawa berjalan ke dewan mesyuarat, atau menaiki tangga ke bilik kuliah tentulah sedikit lebih menyihatkan berbanding berlenggang sepuluh meter dari dapur sambil membawa piring terisi kudap-kudapan untuk ke ruang ‘kerja’ kita di rumah. Berkomunikasi dalam ruang maya perlahan-lahan jadi melelahkan bukan sahaja kerana isu capaian internet. Memang sakit hati, kalau sang penceramah sedang rancak berhujah tiba-tiba si pendengar mengadu suaranya tidak jelas atau skrin pegun lantaran gangguan talian dek hujan lebat. Faktor kurang bergerak secara fizikal dan faktor gangguan talian itu jelas menyebabkan kita kecewa, terganggu perhatian, memadam keterujaan lalu menuju kepada kelesuan psikologi. Namun ada banyak lagi faktor-faktor lain menjurus kita ke arah kelelahan ini dan faktor-faktor ini lebih halus sifatnya; iaitu yang melibatkan unsur-unsur yang selama ini menjadikan kita sebaik-baik spesies sosial.

Beban kognitif

Bahasa tubuh beraksi dengan lancar dan tanpa kita sedari apabila pertemuan fizikal berjalan. Mikroekspresi di wajah, contohnya kedutan kening atau kerutan di hujung bibir, berperanan sangat penting dalam menambahkan kesan perbualan. Peribahasa ‘diam seribu bahasa’ itu sendiri menunjukkan maklumat atau mesej tidak perlukan kata-kata, cukup dengan bahasa tubuh. Pergerakan tangan, cara letak silang kaki (jika duduk) atau arah kedua-dua belah hujung kaki (ketika berdiri), arah pandangan mata, dan banyak lagi adalah komponen-komponen manusiawi yang berlaku ketika kita bersosial. Di dalam sebuah pertemuan maya, semua komponen ini tidak berlaku dengan sempurna. Disebabkan lawan bicara kita hanya wujud dalam sebuah bingkai bersaiz terhad yang dipanggil skrin, maka pelbagai bahasa tubuh diredam dan dipadam.

Dengan keadaan ini, tubuh kita tetap mencuba melakukan sesuatu untuk menjadikan mesej lebih efektif. Namun, bahasa tubuh yang dilakukan tidak lagi automatik atau separa sedar, tetapi lebih kepada secara sedar; pro-aktif. Proses ini menggunakan banyak tenaga. Fikiran dan kognitif kita dibebani oleh gerakan-gerakan bahasa tubuh yang perlu dilakukan. Kita akan melakukan anggukan dengan sedikit berlebihan dan mata kita akan sentiasa mencari-cari imej orang lain untuk memastikan reaksi mereka ketika menerima intipati percakapan kita. Dalam masa yang sama, kita juga sekali-sekala memindahkan pandangan mata kepada kamera komputer kerana kita tahu kita perlu bertentang mata dengan lawan bicara atau audiens. Namun tidak seperti pertemuan fizikal, bertentang mata dengan lawan bicara (kamera) tidak sama dengan melihatnya. Selain itu, menurut Croes et al (2019), apabila kita bercakap di dalam dialog alam maya, kita cenderung untuk meningkat suara 15% lebih kuat. Ini, secara halus, meningkatkan penggunaan tenaga dan tekanan fisiologi.

 

Kerja menafsir kiu-kiu komunikasi (communication cues)

Bukan sahaja si pembicara berusaha memastikan mesej sampai dengan bahasa tubuh yang dilebih-lebihkan, pendengar di alam maya juga sebenarnya bekerja keras untuk menafsir kiu-kiu yang ditampilkan oleh sang pengucap. Tanpa tatapan mata yang bertentangan, mesej sudah hilang separuh kekuatan untuk diyakinkan. Dan kita memerlukan kiu-kiu lain untuk membantu kesan pemaknaan mesej tersebut.

Selain daripada itu, berbanding dengan perjumpaan fizikal yang membolehkan kita menilai bahasa tubuh secara lengkap dari hujung rambut ke hujung kaki, perjumpaan alam maya akan meletakkan bebanan kepada fungsi kognitif kita untuk mencermati kiu-kiu bahasa dari ekspresi wajah dan gerakan kepala sahaja.

Wah, ini semua pastinya memenatkan. Kesan beban kognitif ini mungkin tidak dirasai jika mesyuarat atau pengajaran kelas hanya berlaku seminggu sekali. Bayangkan jika kita sentiasa perlu di alam maya berbincang dengan pro-aktif sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Bayangkan kita sentiasa dengan penuh sedar ‘memaksa’ diri melontarkan bahasa tubuh untuk melengkapkan pengucapan kita. Bayangkan, proses kognitif kita dilipatgandakan untuk menafsir bahasa tubuh orang lain yang dihadkan oleh skrin maya. Beban-beban kognitif ini benar-benar menyedut tenaga kita secara senyap.

 

Renungan Mata

Dalam psikologi bahasa tubuh, renungan mata (eye gaze) sangat penting dalam membina kepercayaan, keselesaan, keintiman atau ancaman. Renungan mata berkait rapat dengan jarak sosial. Contohnya, apabila kita di dalam lif bersama orang-orang yang tidak dikenali atau kenalan yang tidak rapat, kita terpaksa berkorban jarak (saya memberi contoh zaman pra-pandemik tanpa SOP). Untuk menjimatkan ruang di kotak lif tersebut, kita ‘membenarkan’ orang lain masuk ke dalam jarak peribadi (mungkin jarak keintiman sekali). Mungkin di sini saya ulang-kaji sedikit dulu kajian klasik Edward T. Hall pada era 1960an. Beliau berpendapat bahawa manusia ketika bersosial mempunyai beberapa jenis jarak; jarak intim (di bawah 0.5 meter; untuk kekasih, suami/isteri, anak/ibu-bapa), jarak peribadi (antara 0.5 meter – 1.5 meter; untuk teman baik atau adik beradik berlainan jantina) dan jarak sosial (antara 1.5 meter – 3 meter; untuk orang asing, pekedai, jiran, pensyarah yang kita tak gemar, rakan sekuliah yang baru dikenali dan sebagainya). Mudahnya, kita merasa selesa apabila seseorang yang benar-benar intim berada di dalam lingkungan jarak 50 sentimeter daripada kita. Namun, tubuh akan mengalami tindak balas fisiologi yang negatif jika orang asing masuk ke dalam lingkungan tersebut.

Berbalik kepada situasi di dalam lif tadi. Apabila kita terpaksa mengorbankan jarak intim, tubuh kita sebenarnya secara automatik bertindak-balas untuk mengimbangi situasi ini dengan mengubah renungan mata. Mata akan memfokus pada hal-hal lain, seperti memandang ke bawah, dan yang paling lazim, menatal telefon pintar. Mata akan melakukan kerja penjarakan sosial ini (dalam konteks bahasa tubuh, bukan konteks pencegahan penularan COVID19). Membiarkan orang lain berada dalam lingkungan intim (atau peribadi) kita memberi tekanan psikologi. Jika mata tidak menjalankan tugasnya, tubuh kita akan ‘penat’.

Jeremy Bailenson, seorang profesor Universiti Stanford Amerika Syarikat, dalam ujikaji ringkasnya menyimpulkan bahawa apabila temu-ramah dilakukan antara dua atau tiga orang dalam sebuah platform maya, proses yang berlaku adalah bersamaan dengan perbualan fizikal yang melibatkan renungan mata berterusan di dalam jarak intim. Bayangkan, betapa tubuh kita terpaksa menahan tekanan ini lebih-lebih lagi peserta-peserta yang ada dalam perbualan maya itu hanya rakan sekerja atau teman yang tidak akrab. Bayangkan pula jika terdapat dua puluh peserta dalam mesyuarat tersebut dan semua mengaktifkan video masing-masing. Kita akan melihat multi-person screen yang akan melipatgandakan kesan negatif terhadap kognitif kita kerana secara bawah sedarnya otak kita menafsir mereka semua ini merenung kita di dalam jarak intim, dan itu tidak sepatutnya berlaku.

‘Jenuh’ Melihat Wajah Sendiri

Ketika kita berbual atau bercakap di alam maya, dalam kebanyakan masa kita memerlukan video dibuka. Video dibuka atas dasar hormat antara satu sama lain dan juga atas sebab mahu menekankan kepentingan mesej atau soalan yang disampaikan. Selain itu, peserta pasif juga digalakkan membuka video masing-masing di dalam kebanyakan situasi.

Bermesyuarat atau berbincang rasmi di platform maya dengan video terbuka secara tidak langsung akan menggalakkan kita menilai diri sendiri. Ini terbukti melalui sebuah kajian oleh Gonzales dan Hancock pada tahun 2011 di mana apabila manusia itu melihat dirinya secara sengaja atau tidak, dia sentiasa akan melakukan penilaian (teringat pula dengan kisah dewa Greek, Narcisus, yang tiba-tiba asyik melihat refleksi diri sendiri di permukaan lopak air). Walaupun Gonzales dan Hancock mengatakan bahawa dengan melihat display profile sendiri di Facebook, ia mempunyai potensi untuk meningkatkan harga diri (self-esteem) tapi Jeremy Bailenson mati-mati tidak bersetuju. Bailenson menyangkal bahawa di dalam perbualan alam maya di mana peserta sentiasa melihat refleksi diri sendiri melalui video yang diaktifkan, ia akan membebankan kognitifnya. Berterusan menilai dirinya sendiri, lambat-laun ini memberi kesan stres dalam sistem fisiologi individu itu.

Tutup Sahaja Video Anda

Walaupun kita tidak menjadi pembicara atau penceramah atau pengerusi, dan hanya berperanan pasif tanpa perlu membuka video dan mengaktifkan mikrofon, aktiviti maya tetap menyedut raksa tenaga kita. Mengapa? Kata kuncinya – mudah terganggu perhatian. Perhatian mudah teralih secara sukarela atau tidak disengajakan. Pelbagai faktor yang akan menolak kita untuk teralih perhatian;

1) Situasi di dalam rumah – suara anak, bunyi hon penghantar makanan, kokok ayam jiran sebelah etc,

2) Komputer atau gajet itu sendiri yang menyimpan seribu satu macam aplikasi lain; “Eh, apa cerita my dropshipper, ya?”, atau “Ada orang komen tak on my latest status?” dan berpuluh lagi tetingkap yang kita buka,

3) Kelesuan dan kebosanan; samada mesyuarat itu sendiri sangat teruk atau kita penat dengan bebanan kognitif yang dibincangkan di atas. Dan lebih menarik, kita mungkin akan menjustifikasi diri sendiri bahawa kita tidak distracted tetapi cuba multi-tasking.

Menutup video memberi tanggapan (pada diri sendiri) bahawa kita adalah halimunan dan kita merasakan boleh melakukan apa sahaja. Tambahkan tanggapan ini dengan tiga faktor yang baru disebut di atas dan justifikasi multi-tasking, nah, anda adalah individu yang sudah teralih perhatiannya.. Tanyalah mana-mana ahli psikologi dan pengkaji sains neurologi, sebaik mana pun kita melakukan pelbagai kerja serentak, pasti akan ada yang tidak lengkap (dari segi kefahaman bahan yang disampaikan) atau paling tidak, kesan paling pasti adalah satu lagi bebanan minda. Multi-tasking juga sebenarnya menghisap tenaga minda kita.

Kita Lawan Kelesuan

Aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan fizikal perlu dilakukan untuk mengimbangi kerja yang duduk lama di depan skrin. Barangkali ini bukan cadangan-cadangan baru tapi mungkin berbaloi diingatkan sekali lagi untuk para pembaca; aktiviti menulis, melukis, berkebun, menjahit, menghasilkan kraf, bermain alat muzik di samping, tentunya, bersenam, adalah mekanisme pemampasan (compensatory mechanism) untuk mengembalikan tenaga dan keterujaan tubuh kita yang telah hilang ditelan kelesuan maya dan beban-beban kognitif. Aktiviti relaksasi pernafasan berserta mindfulness juga patut dilakukan sebelum dan selepas kerja atau mesyuarat atas talian. Ada juga yang mencadangkan, jika bersesuaian, supaya bermesyuarat atau berbincang di dalam talian sambil berjalan dan menulis di papan putih (rasanya tak ramai yang menerima idea ini). Cadangan menghadkan pengaktifan video, jika bersesuaian (i.e dibenarkan oleh majikan atau pensyarah/guru), juga adalah amalan yang baik untuk menghindarkan bebanan-bebanan kognitif itu.

 

Keletihan maya ini mungkin paling kuat bersangkutan dengan urusan kerja di alam maya, terutamanya mesyuarat dan kelas/kuliah. Perbualan video santai dengan orang tersayang atau teman akrab, kalau kita fahami hujah-hujah bebanan kognitif di atas, mungkin tidak terlalu buruk. Malah perbualan video dengan orang tersayang adalah digalakkan selagi pandemik ini menghalang pertemuan fizikal. Sekurang-kurangnya, dengan individu yang akrab, fungsi kognitif kita tidak terbeban dengan proses membaca bahasa tubuh yang dibincangkan tadi. Selain itu, dengan orang tersayang, swa-nilai apabila melihat imej sendiri ketika berhubung secara video tidak relevan lagi kerana tentunya mata dan otak kita hanya mahu menatap wajah-wajah yang dirindukan itu.

Persentuhan fizikal adalah satu perkara paling penting, barangkali tempat kedua selepas nyawa, yang dirampas oleh COVID19. Hubungan fizikal, daripada jabat tangan, tepuk perlahan di belakang bahu, kepada peluk-cium membina sistem imun yang sihat, menggalakkan rembesan hormon yang bagus dan mengurangkan hormon stres seperti cortisol. Tanpa persentuhan fizikal, manusia mudah merasa sunyi. Menurut ahli psikologi klinikal, Dr. Valentina Ogaryan, selain panggilan video dengan orang tersayang, bergerak di luar rumah samada bersenam atau berjalan menikmati alam sedikit sebanyak mengurangkan perasaan sunyi ini. Selain daripada itu, Dr. Ogaryan mencadangkan kita menjalankan aktiviti mindfulness di mana kita membayangkan apa rasanya dipeluk oleh keluarga atau teman tercinta.

Apa sahaja yang berlebihan pasti ada mudarat, barangkali begitulah prinsip asas untuk sebuah dunia yang sementara. Terlalu banyak bersosial di luar akan menurunkan produktiviti. Terlalu banyak bekerja akan menyebabkan lesu upaya (burn-out). Terlalu banyak berinteraksi di media sosial akan mengurangkan daya introspeksi kerana tiada masa untuk bermuhasabah dengan diri sendiri. Terlalu kerap bekerja di depan skrin, tentu juga memberi kesan pada fizikal dan mental. Kita optimis mahu pandemik ini berhenti tapi kita juga harus realistik, bahawa platform maya untuk mesyuarat, kuliah, kelas, ceramah, peperiksaan dan sebagainya akan kekal relevan dan mustahak dalam hidup kita.

Rujukan:

  • Ong, D., Moors, T., & Sivaraman, V. (2014). Comparison of the energy, carbon and time costs of videoconferencing and in-person meetings. Computer Communications50, 86-94.
  • Takac, M., Collett, J., Blom, K. J., Conduit, R., Rehm, I., & De Foe, A. (2019). Public speaking anxiety decreases within repeated virtual reality training sessions. PloS one14(5), e0216288.
  • Croes, E. A., Antheunis, M. L., Schouten, A. P., & Krahmer, E. J. (2019). Social attraction in video-mediated communication: The role of nonverbal affiliative behavior. Journal of social and personal relationships36(4), 1210-1232.
  • Bailenson, J. N. (2021). Nonverbal overload: A theoretical argument for the causes of Zoom fatigue. Technology, Mind, and Behavior2(1).
  • Gonzales, A. L., & Hancock, J. T. (2011). Mirror, mirror on my Facebook wall: Effects of exposure to Facebook on self-esteem. Cyberpsychology, behavior, and social networking14(1-2), 79-83.

  1. ZUL AZLIN RAZALI adalah Pakar Psikiatri yang menulis novel Majnun (Buku Fixi), buku Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati (DuBook Press) dan koleksi cerita Aku Dijangkiti Kehidupan (Katapilar Books Sdn Bhd)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box